Penangguhan rentas sempadan, subbenua India dilanjutkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Kerajaan Brunei hari ini menangguhkan lagi kebenaran aktiviti rentas sempadan dan kebenaran masuk dan keluar bagi lima buah negara subbenua India selama 16 hari dari 16 sehingga 31 Oktober.

Penangguhan adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan berdasarkan siaran akhbar pada 29 September lalu oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia termasuklah penangguhan kemasukan warga asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan. Kemasukan dan perjalanan transit hanya dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan kerajaan di sini, dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara berkenaan, dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada, bagi tujuan urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera); dan Vaccinated Transport Operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan Brunei bagi penghantaran bekalan import yang penting.

Penangguhan juga adalah bagi pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan (checkpoints) yang dibuat oleh runners berdaftar di Brunei, keluar dan masuk negara secara ulang alik melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

Dalam pada itu, kebenaran kemasukan dan keluar bagi lima buah subbenua India iaitu Republik India, Republik Demokratik Persekutuan Nepal, Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka, Republik Islam Pakistan dan Republik Rakyat Bangladesh juga ditangguhkan bagi tempoh yang sama.

Pemegang pasport diplomatik dan angkatan bersenjata dari negara ini dan subbenua India dibolehkan memasuki negara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

Perjalanan secara transit melalui Negara Brunei Darussalam dan perjalanan keluar dari negara ini ke subbenua India ditangguhkan manakala mereka yang telah diberikan kebenaran awal melalui penerbangan juga ditarik balik.

Warganegara asing yang memegang pas pekerjaan atau pas tanggungan yang mana telah dibatalkan atau pemegang Special Authorisation Work Pass atau Professional Visit Visa yang telah bekerja sementara di Negara Brunei Darussalam dan akan kembali ke negara asal masing-masing secara tetap dibenarkan.

Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa.

Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang JPM www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja atau e-mel [email protected]