Penarol pecat Forlan

MONTEVIDEO, 1 SEPT – Bekas penyerang Manchester United dan Atletico Madrid, Diego Forlan dipecat sebagai jurulatih kelab gergasi Uruguay, Penarol, semalam.

Laporan media mendakwa pemain terkenal yang berusia 40 tahun itu dipecat kerana keputusan yang buruk, walaupun tidak ada pengesahan dari kelab.

“Saya tidak menyesal, itu bola sepak,” katanya, sambil menambah bahawa “menjadi pengurus kelab telah menjadi saat yang membanggakan.”

Menurut media tempatan, presiden kelab Jorge Barrera memberitahu Forlan mengenai pemecatannya semalam.

Keputusan itu dibuat setelah kekalahan 2-0 pada hujung minggu kepada Wanderers dalam liga Uruguay. Dalam 11 perlawanan, Forlan telah membimbing pasukan dengan hanya empat kemenangan dan selainnya kalah.

Gambar fail pada 3 Mac lalu menunjukkan Diego Forlan ketika memberi isyarat di perlawanan Piala Libertadores 2020 menentang Athletico Paranaense di Stadium Arena da Baixada, Curitiba, Brazil. – AFP

Laporan akhbar tempatan mendakwa dia akan digantikan oleh Mario Saralegui, yang sebelum ini jurulatih kelab itu pada tahun 2008 dan 2009. Forlan, yang memenangi anugerah Bola Emas di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan di mana Uruguay menduduki tempat keempat, hanya menyertai kelab itu pada bulan Disember.

Itu adalah peranannya sebagai jurulatih yang pertama, walaupun dia bermain untuk Penarol antara 2015-16.

Sebagai pemain, dia membantu Uruguay memenangi Copa America 2011 untuk kali ke-15.

Dia juga memenangi Liga Perdana Inggeris dengan United pada 2003 dan Liga Europa bersama Atletico tujuh tahun kemudian.

Dia membantu Penarol memenangi gelaran Uruguay dalam satu-satu musim bersama mereka dan juga bermain untuk Villarreal di Sepanyol, Inter Milan Itali, Independiente Argentina dan Internacional dari Brazil. – AFP