Penasihat asing Suu Kyi dihadapkan ke mahkamah junta

YANGON, 23 SEPT – Penasihat warga asing pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, hari ini dihadapkan ke mahkamah junta untuk berdepan pertuduhan imigresen dan rahsia rasmi.

Profesor di Universiti Macquarie, Sean Turnell, merupakan warga asing pertama ditahan di Myanmar selepas rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, dengan menggulingkan kerajaan pimpinan Suu Kyi, sekali gus mencetuskan protes besar-besaran.

Peguam yang terbabit dalam kes itu, Khin Maung Zaw, berkata Turnell ditahan di Penjara Insein di Yangon dan dilihat ‘lemah serta lesu’ ketika dalam mahkamah di Naypyidaw.

Maung Zaw berkata, Turnell dilihat memakai ‘pakaian pelindung COVID-19 yang lengkap’, tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Julai lalu, isteri Turnell merayu supaya suaminya dibebaskan kerana bimbangkan kesihatannya ketika Myanmar berdepan lonjakan kes COVID-19.

Gambar Turnell, yang didakwa menerima vaksin di Penjara Insein, kemudian diterbitkan di media milik kerajaan Myanmar. –AFP

Gambar serahan agensi Myanmar News Agency (MNA) pada 28 Julai 2021 menunjukkan Sean Turnell, penasihat warga asing bagi Suu Kyi, menerima suntikan vaksin koronavirus di penjara Insein, Yangon. –AFP