Pencak silat tambah gangsa

Oleh Fadhil Yunus

FILIPINA, 3 DIS – Atlet pencak silat Brunei Darussalam Anisah Najihah binti Abdullah menambah senarai nama atlet negara yang berjaya naik ke podium selepas berjaya meraih pingat gangsa dalam acara Perseorangan Seni Wanita di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30  di Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay, kelmarin.

Anisah Najihah mengumpul 451 mata untuk melayakkannya menaiki podium, di belakang pemungut pingat emas Puspa Arum Sari dari Indonesia dan atlet berusia 16 tahun Marie Francine Padios dari Filipina yang meraih pingat perak.

Bintang Brunei yang membawa cabaran negara itu meneruskan aksi terbaik apabila sekali lagi berjaya menaiki podium dalam Sukan SEA sejak 2007 lagi.

Anisah, yang baru bermula memanaskan badan bagi pertandingan sukan dwitahunan itu dengan satu permulaan yang cukup menakjubkan, sehingga diiktiraf sebagai salah seorang atlet pencak silat negara yang berbakat.