Pencak silat terus jalani latihan dalam normal baharu

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Sukan pencak silat antara salah satu lagi sukan yang dibenarkan untuk meneruskan aktiviti latihan di kemudahan sukan tertutup dengan protokol kesihatan dan keselamatan yang sesuai mengikut panduan terkini.

Berikutan kebenaran tersebut, atlet pencak silat negara mula menjalani latihan di Kompleks Sukan Menglait dengan sesi latihan baharu untuk disiplin seni mempertahankan diri yang diadakan petang semalam di bawah bimbingan seorang jurulatih.

Latihan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para atlet pencak silat peringkat tinggi sejak seminggu yang lalu sebagai salah satu sukan seni mempertahankan diri yang telah kembali berlatih di kemudahan sukan. Karate juga menandakan kepulangan mereka setelah sekian lama tidak menjalani latihan kerana penutupan kemudahan sukan di seluruh negara dengan ramai kalangan daripada atlet junior sudah mula kembali berlatih di Kompleks Sukan Menglait. Seperti sukan-sukan lain, pencak silat adalah antara sukan yang mengadakan skim latihan melibatkan atlet kebangsaan.

Peminat-peminat sukan lain seperti badminton, pool, boling 10 pin, tenis, pingpong, golf dan skuasy juga telah kembali menjalani latihan, dengan peningkatan kapasiti yang dibenarkan di bawah garis panduan terbaharu yang menyaksikan peningkatan kehadiran pengunjung yang terutamanya sukan tenis pada bulan lalu.

Atlet pencak silat negara kembali menjalani latihan di Kompleks Sukan Menglait dengan protokol kesihatan dan keselamatan terkini.