BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Anugerah Perniagaan ASEAN (ABA) ke-10 dibukakan untuk pencalonan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi besar bagi mengiktiraf perusahaan-perusahaan di rantau ASEAN.
ABA menumpukan tiga kategori utama yang kemudiannya dibahagikan kepada beberapa lagi sub-kategori. Pertama ialah Anugerah Cemerlang PKS manakala dalam sub-kategorinya pula ialah Perkembangan, Pengambilan Pekerja, Inovasi, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Anugerah Usahawan Muda Terbaik dan Anugerah Usahawan Wanita Terbaik.
Kategori lain termasuklah Anugerah Sektor Integrasi 12 Keutamaan yang memberikan pengiktirafan kepada sektor-sektor cemerlang seperti perikanan, elektronik, e-ASEAN/ICT, tekstil, logistik, perniagaan berasaskan kayu, agri-makanan, penjagaan kesihatan, pelancongan, automotif dan juga runcit.
Manakala bagi Kategori Anugerah Khas yang terdiri daripada sub-kategori Anugerah Perniagaan Menyeluruh, mengiktiraf model-model perniagaan yang membantu mengurangkan kemiskinan manakala sub-kategori Anugerah Rakan ASEAN akan diberikan kepada perusahaan bukan dari ASEAN yang mengembang luaskan perniagaannya di rantau ini.
Penerima anugerah-anugerah ini berpeluang mendapat sokongan daripada peneraju dalam industri terbabit dan berpeluang melebarkan rangkaian dalam komuniti ASEAN yang besar menerusi ASEAN Monitoring Entrepreneurs Network.
Bagi pencalonan, bolehlah melayari laman sesawang rasmi www.aba2017.com untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pencalonan ditutup pada 15 Jun depan.
Anugerah-anugerah itu merupakan sebahagian daripada aktiviti Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) yang menghimpunkan 10 negara blok ASEAN terdiri daripada Filipina, Indonesia, Thailand, Malaysia, Singapura, Vietnam, Brunei Darussalam, Myanmar, Kemboja dan Laos. Para pemenang akan dijemput bagi menghadiri majlis anugerah itu yang akan diadakan di Okada Manila, Paranaque City, Filipina pada 6 September 2017.