Saturday, August 20, 2022
23.9 C
Brunei

Pencalonan Anugerah Hari Belia Kebangsaan kini dibuka

-

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ingin memaklumkan borang pencalonan bagi Anugerah Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-17 Tahun 2022 sempena Sambutan HBK ke-17 Tahun 2022 kini boleh didapati di www.ysnet.gov.bn.

Tatacara memohon boleh diperolehi melalui laman sesawang www.hbk.gov.bn dengan mengklik pada pautan diberikan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KKBS di sini, hari ini, kategori anugerah pada tahun ini dibahagikan kepada empat iaitu Projek Cemerlang Untuk Belia (PCUB) di mana ia merupakan pengiktirafan kepada projek-projek belia dalam pelbagai bidang yang berjaya menjadi inspirasi dan model kepada pembangunan masyarakat secara am dan khususnya kepada para belia.

Projek berinovasi yang membangunkan dan memajukan agensi, organisasi atau persatuan atau pergerakan belia dan satu kelebihan jika projek tersebut membukakan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat khusus di kalangan belia serta menyumbang kepada pembangunan belia dan ekonomi negara.

Sementara itu, Pemimpin Muda Belia (PMB) merupakan satu pengiktirafan atas khidmat cemerlang yang telah diberikan oleh seorang pemimpin muda dalam memajukan agensi atau organisasi atau pergerakan belia yang telah dipimpinnya secara berterusan.

Manakala bagi Belia Cemerlang (BC) pula, anugerah ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada seorang belia yang telah memberikan sumbangan jasa yang cemerlang dalam apa jua bidang diceburi atau memperlihatkan usaha-usaha yang membuahkan hasil membanggakan dan mengharumkan nama negara.

Belia Berkhidmat (BB) pula adalah anugerah pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada seorang belia yang bergiat aktif dan memberikan sumbangan serta khidmat secara sukarela dan berterusan kepada masyarakat di negara ini.

Kenyataan turut menyatakan, setiap pencalonan hendaklah mengisikan borang pencalonan yang disediakan dengan lengkap dan menyertakan dokumen yang dikehendaki. Pencalonan dibukakan bermula 16 Mei dan tarikh tutup pencalonan ialah pada 16 Jun pukul 4 petang.

Sebarang pertanyaan mengenai anugerah tersebut, bolehlah menghubungi Urus Setia HBK ke-17 Tahun 2022, Jabatan Belia dan Sukan di alamat Tingkat 3, Bahagian Belia, Bangunan KKBS, Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan BC4415 atau di talian 2381903/4/5 sambungan 1300/4 pada waktu pejabat.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Darurat banjir di wilayah pulau selatan New Zealand

WELLINGTON, 18 OGOS – Wilayah Pantai Barat dan Nelson-Tasman di Pulau Selatan New Zealand dilanda hujan lebat dan banjir. Darurat tempatan masih kekal di kawasan...
- Advertisment -