Pencalonan Puteri Ubolratana dibatalkan

BANGKOK, 12 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand kelmarin membatalkan pencalonan adik perempuan raja negara itu untuk menjadi calon perdana menteri dalam pilihan raya umum bulan depan, dengan mengatakan bahawa semua ahli kerabat diraja perlu menghindari diri daripada terlibat dalam politik dan sistem monarki perlu dihormati.

Keputusan suruhanjaya itu dikeluarkan selepas raja berkenaan mengeluarkan perintah yang menggambarkan tawaran politik terhadap Puteri Ubolratana Mahidol sebagai tidak sesuai dan tidak berperlembagaan.

Parti Raksa Chart Thailand pada Jumaat lalu mendaftarkan Ubolratana sebagai calonnya, menyimpang daripada kebiasaan terhadap penglibatan ahli kerabat diraja dalam politik.

Lebih mengejutkan Puteri Ubolratana bakal melibatkan diri dengan sebuah parti yang dikaitkan dengan parti mantan ahli politik, Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang digulingkan dalam rampasan kuasa tahun 2006 setelah dituduh menyalahgunakan kuasa dan tidak menghormati sistem monarki.

Perintah diraja lewat malam Jumaat dari Raja Maha Vajiralongkorn mengatakan tradisi dan undang-undang melarang Puteri Ubolratana untuk terlibat dalam politik. Penglibatan Ubolratana dilihat sebagai cabaran kepada Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha, yang mengetuai rampasan kuasa tentera 2014 dan merupakan calon kegemaran untuk memenangi pilihan raya pada 24 Mac nanti, di mana sebanyak 45 parti akan bertanding.

Parti Raksa Chart Thai pada Sabtu lalu mengeluarkan kenyataan yang mengisytiharkan kesetiaannya kepada raja dan penerimaan perintahnya, walaupun secara teknikalnya, pembatalan pencalonan Ubolratana dilakukan lewat daripada sepatutnya. – AP

Gambar fail pada 8 Februari 2019 menunjukkan borang pencalonan Puteri Ubolratana ketika diserahkan kepada pejabat pemilihan Thailand di Bangkok. Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand kelmarin membatalkan pencalonan adik perempuan raja negara itu untuk menjadi calon perdana menteri dalam pilihan raya umum bulan depan. – AFP