Pencapaian Brunei terima pujian

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berjaya menangani pelbagai cabaran yang dihadapi berikutan pandemik yang melanda dunia sejak beberapa tahun terakhir ini.

Sehingga ke hari ini kanak-kanak telah pun kembali ke sekolah masing-masing, perniagaan kembali dibuka dan kehidupan sudah berjalan sepertisebelumnya yang mana ini semua merupakan pencapaian yang cemerlang dikecapi di negara ini.

Presiden Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tuan Yang Terutama Abdulla Shahid memuji pencapaian negara berdasarkan pandangan beliau sejak kali terakhir mengunjungi Brunei pada Mac 2020 iaitu sebelum sekatan perjalanan dilaksanakan.

Tuan Yang Terutama menyuarakan pujiannya itu semasa sesi temu bual bersama pengamal media tempatan yang berlangsung di East Wing, The Empire Brunei, pagi tadi.

Tuan Yang Terutama menjelaskan, semasa majlis mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman kelmarin, beliau menyembahkan kehadapan majlis Baginda Sultan akan kecemerlangan kepimpinan yang ditunjukkan Baginda dalam memimpin ASEAN semasa detik-detik sukar ini.

TYT Abdulla Shahid semasa sesi temu bual bersama pengamal media tempatan kelmarin.

Semasa temu bual tersebut, Tuan Yang Terutama juga memuji komitmen dan usaha yang telah dilakukan oleh Negara Brunei Darussalam dalam multilateralisme.

Tuan Yang Terutama sangat teruja apabila berpeluang berjumpa dan melihat generasi muda yang terdiri daripada diplomat muda, penjawat awam dan petugas barisan hadapan semasa mengadakan lawatan ke negara ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai kepentingan penglibatan belia dalam membuat beberapa keputusan penting di peringkat PBB.

“Hari ini kita memiliki seramai 1.8 bilion orang penduduk yang terdiri dalam kalangan belia yang merupakan populasi belia yang terbesar pernah dilihat setakat ini, oleh itu adalah penting bagi kita untuk melibatkan golongan belia ini dalam proses menghasilkan polisi dengan mendengarkan serta menggunakan pandangan mereka kerana mereka yang akan mewarisi segala apa yang kita putuskan pada hari ini.

“Mereka (golongan belia) akan menjadi pembuat keputusan di kemudian hari, oleh itu adalah lebih baik bagi kita untuk mempersiapkan mereka bermula pada masa ini daripada terus menumpukan tanggungjawab tersebut pada kemudian harinya kepada mereka dan kerana itulah saya secara berterusan mendorong generasi belia untuk dilibatkan dalam penentuan sebarang keputusan yang kami lakukan pada masa ini,” terang TYT Abdulla Shahid lagi.