Pencapaian pelajar ASHR diraikan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Bagi meraikan pencapaian para pelajar dalam program Matematik dan Inggeris bagi empat tahap kelayakan iaitu enam bulan, dua tahun, tiga tahun dan lima tahun lebih awal daripada tahap gred sekolah, Pusat Kecemerlangan Pembelajaran KUMON telah mengadakan majlis anugerah Advanced Student Honour Roll (ASHR) menerusi platform dalam talian, hari ini.

Ketua Pengajar, Pusat Kecemerlangan Pembelajaran KUMON, Feby semasa berucap antara lain menyatakan bahawa dengan adanya majlis secara maya itu, ia secara tidak langsung bertujuan untuk mendorong mereka untuk lebih bersemangat dalam meneruskan pembelajaran pada tahap yang lebih tinggi lagi sehingga di luar kemampuan mereka sekarang.

Menghampiri tahun ketiga operasi, beliau turut berharap untuk dapat menyaksikan lebih ramai lagi kanak-kanak di negara ini meraih manfaat menerusi program serupa sebagaimana pencapaian positif yang telah dicapai oleh tiga orang anaknya dan pelajar-pelajar pusat tersebut sehingga meraih pencapaian ASHR lebih tinggi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis itu juga secara tidak langsung dapat memberi keceriaan dan peluang kepada para pelajar untuk bersemuka dan berkomunikasi bersama rakan-rakan seperjuangan yang dirai.

Meskipun berdepan gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini, pusat berkenaan juga terus menerima pendaftaran pelajar baharu di mana para pelajar akan menghadiri kelas dalam talian sebanyak dua kali dalam seminggu dan menerima bimbingan dalam talian yang dikendalikan oleh para tenaga pengajar pusat tersebut.

Ini juga jelas menunjukkan perkembangan positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di mana tiada istilah terhenti begitu sahaja walau di mana pun berada.

Antara pelajar yang diraikan semasa majlis anugerah Advanced Student Honour Roll menerusi aplikasi Zoom kelmarin. – Gambar serahan KUMON