Thursday, June 8, 2023
33.6 C
Brunei

    -

    Pencapaian penting buat Hengyi-BSM

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) hari ini mencatatkan sejarah penting apabila buat julung kalinya telah membekalkan bahan api pengangkutan (Gasoline, Diesel and bahan api Jet A1) kepada Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), sekali gus menandakan permulaan bagi pembekalan produk bahan api bertapis Pulau Muara Besar ke pasaran domestik.

    Pencapaian ini juga selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menggesa negara ini untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan negara pada produk bahan api yang diimport dan sekali gus menghasilkan produk untuk dieksport.

    Sehubungan itu, satu majlis perasmian bagi menandakan permulaan pembekalan produk berkenaan telah diadakan di Pulau Muara Besar dengan acara memotong reben, hari ini.
    Hadir dan seterusnya merasmikan acara itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew
    bin Abdullah.

    Turut hadir merasmikan acara tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein;Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam,Puan Yang Terutama Yu Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industri, Chen Lian Cai; dan Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

    Penghasilan pelbagai produk bahan api tempatan oleh Hengyi, salah sebuah syarikat FDI terbesar di Brunei, menyumbang kepada pembangunan dan kepelbagaian sektor tenaga hiliran negara, selain dapat menyokong kemandirian negara.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny, PYT Yu Hong dan Awang Muhammad Norshafiee ketika acara pemotongan reben bagi acara tersebut, kelmarin. – Gambar serahan Hengyi

    Ia jua merupakan sebahagian daripada perjanjian komersial Hengyi dengan BSM yang ditandatangani pada 18 September 2019 bagi membekalkan produk bahan api bertapis kepada BSM untuk pengedaran pasaran domestik.

    Loji Penapisan dan Petrokimia Pulau Muara Besar merupakan kilang minyak bertaraf dunia dan kompleks aromatik dengan kapasiti penapisan 8 juta tan minyak mentah setiap tahun. Kilang petrokimia ini juga mampu menghasilkan 13 jenis produk petroleum.

    Hengyi akan membekalkan sejumlah 427,509 tong produk bahan api bertapis kepada BSM, yang terdiri daripada 190,778 tong petrol, 159,924 tong diesel, dan 76,807 tong bahan api jet untuk memenuhi permintaan domestik bulanan bagi produk petroleum.

    Pada masa akan datang, Hengyi akan membekalkan bahan api Euro V bagi permintaan domestik dengan memberikan kualiti tertinggi dan bahan api yang lebih bersih.

    Bahan api Euro V merupakan produk mesra alam dan memberikan prestasi yang lebih baik kepada kenderaan bermotor. Operasi Loji Penapisan dan Petrokimia Pulau Muara Besar dan bekalan produk petroleum dalam negara dipantau oleh Kementerian Tenaga untuk memastikan produk berkualiti terus tersedia untuk orang ramai.

    Loji Penapisan dan Petrokimia Pulau Muara Besar juga membuka peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada pekerja dan perniagaan tempatan. Sejak mula beroperasi, Hengyi secara langsung telah menggaji 447 penduduk tempatan dan jumlah ini dijangka akan meningkat lebih tinggi lagi dengan penyusunan semula oleh Kementerian Tenaga.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia haram simbol Nazi

    SYDNEY, 8 JUN - Australia pada hari Khamis mengumumkan ia akan melarang pameran awam simbol Nazi, ketika negara itu bergumul dengan kumpulan kecil ekstremis...
    - Advertisment -