Pencapaian sumbang pembangunan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Kewujudan Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG) telah memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai inisiatif semasa dan masa depan untuk membangunkan rakyat Brunei dengan menyokong pelaburan dalam pembangunan rakyat dan memastikan pemindahan kemahiran dan pengetahuan yang mapan untuk penduduk tempatan.

“Sesungguhnya pencapaian selama setengah abad Brunei LNG telah menunjukkan daya tahan industri gas asli negara dan komitmen dan tekad Brunei LNG yang kuat dalam menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan negara ini,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Brunei LNG semasa berkenan berangkat ke Majlis Ulang Tahun Penubuhan ke-50 Brunei LNG di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut me-ngongsikan bahawa 93 peratus daripada jumlah tenaga kerja Brunei LNG terdiri daripada bakat tempatan, yang amat penting mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengembangkan bakat tempatan dalam industri minyak dan gas melalui ‘Bruneianisation Programme’.

“Dari segi komersial, Brunei LNG telah berjaya menghantar sebanyak 267 juta tan LNG kepada semua pelanggannya, dengan selamat dan cekap sejak operasi loji dimulakan dan pada masa ini, 90 peratus daripada jumlah yang dihasilkan telah dihantar ke Jepun, yang kekal sebagai pelanggan terbesar kami,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

Dalam hal tersebut, Duli Yang Teramat Mulia juga menyatakan keyakinan yang Brunei LNG akan terus melakukan yang terbaik dalam menyampaikan komitmennya kepada para pemegang saham dan negara dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan serta ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyampaikan sabdanya pada Majlis Ulang Tahun Penubuhan ke-50 Brunei LNG di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei. – Gambar oleh Infofoto
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai.
Duli Yang Teramat Mulia semasa berkenan menerima pesembah.
Duli Yang Teramat Mulia ketika berkenan menyaksikan pameran. – Gambar oleh Infofoto
Para jemputan yang menghadiri majlis itu.

Meskipun landskap ekonomi global dan serantau menghadapi cabaran dan risiko baharu, Negara Brunei Darussalam terus menyaksikan perkembangan mantap dalam industri gas asli negara dan sambutan ulang tahun itu merupakan satu lagi peristiwa penting yang telah dicapai, sabda Duli Yang Teramat Mulia.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut menekankan pentingnya sumba-ngan Brunei LNG dan peranan pentingnya dalam pembangunan ekonomi Negara Brunei Darussalam sepanjang 50 tahun yang lalu dan mengucapkan terima kasih kepada pembeli-pembeli LNG iaitu konsortium-konsortium pembeli dari Jepun (JERA, Tokyo Gas, Osaka Gas) serta pembeli-pembeli baharu seperti SLMT, PLL, Koch Supply dan Trading SARL atas kepercayaan dan keyakinan diberikan kepada Brunei LNG.

Duli Yang Teramat Mulia juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyokong Syarikat Brunei LNG daripada permulaan yang sederhana pada tahun 1969 sehingga kini dan mengucapkan tahniah kepada Brunei LNG kerana mencapai jubli emasnya.

Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia diiringi dengan persembahan hadrah oleh murid-murid daripada Sekolah Ugama Sungai Tali, Lumut dan dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Patrice Girard serta ahli-ahli Lembaga Pengarah Brunei LNG dan warga pengurusan Brunei LNG.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah wakil-wakil daripada pemegang saham Brunei LNG (kerajaan Brunei, Shell dan Mitsubishi Corporation) dan pembeli-pembeli LNG (Petronas LNG Ltd (PLL) dan Koch Supply) serta Trading Sarl (Koch) yang telah datang untuk menyambut ulang tahun jubli emas Brunei LNG.

Juga hadir ialah menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri, setiausaha tetap di Kementerian Tenaga, ketua-ketua perwakilan dari negara-negara sahabat, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Liang Lumut dan orang-orang berkepentingan syarikat.

Patrice Girard dalam sembah alu-aluannya mengatakan bahawa Brunei LNG berjaya bertahan disebabkan gabungan pelbagai faktor kejayaan seperti hubungan kuat yang telah dibina selama ini bersama tiga pembeli asas Brunei LNG iaitu JERA, Tokyo Gas dan Osaka Gas serta hubungan yang baru dibina bersama Shell LNG Marketing dan Trading (SLMT), PLL dan Koch.

Selain itu, sokongan dan bimbingan daripada para pemegang sahamnya dan integrasi padu dengan komuniti Mukim Liang Lumut serta yang paling penting adalah kesetiaan dan komitmen daripada kakitangan dan rakan kongsi perniagaan.

“Dengan sokongan berterusan para pemegang saham dan semua pihak berkepentingan, kami yakin akan terus menyampaikan LNG dengan selamat kepada para pelanggan kami untuk beberapa dekad seterusnya dan terus menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara,” tambahnya.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan menerima dua pesambah iaitu sebuah buku mewah Ulang Tahun Brunei LNG ke-50 dan model unit pencairan gas Brunei LNG yang disembahkan oleh Patrice Girard.

Buku berkenaan telah dilancarkan pada Sambutan Malam Gala dan Pertemuan Semula bagi Kakitangan dan menceritakan penubuhan dan pertumbuhan Syarikat Brunei LNG sejak lima dekad yang lalu.

Majlis kemudian disusuli dengan santap tengah hari yang dimeriahkan dengan persembahan silat tradisi dan tarian etnik daripada Puak Belait dan masyarakat Iban yang berasal dari Daerah Belait tempat Brunei LNG beroperasi.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima junjung ziarah daripada wakil pembeli-pembeli LNG dari Negara Jepun dan yang lain diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah Brunei LNG, ahli-ahli pengurusan Brunei LNG serta para jemputan-jemputan khas termasuk pembeli-pembeli LNG.