Pencapaian terbaik Trevor di Terbuka Malaysia

SHAH ALAM, 8 MAC – Pemain golf warga Amerika Trevor Simsby berjaya mencatatkan kejayaan terbesarnya dalam kariernya, selepas memenangi Kejohanan Golf Terbuka Malaysia kali ke-55 di Kota Permai Golf & Country Club di sini hari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu melakukan birdie pada kedua-dua permainan playoff, di lubang ke-18 untuk menang, mengatasi pedahulu semalam Andrew, yang gagal melakukan birdie pada playoff kedua, selepas mereka berdua terikat dengan birdie pada playoff pertama.

Seorang lagi pemain dari Amerika Syarikat, Jarin Todd, berkongsi tempat kedua bersama Andrew, selepas beliau gagal melakukan birdie dan  terkeluar pada playoff pertama.

Selepas pusingan ketiga, dihentikan semalam akibat cuaca buruk dimulakan semula pagi ini, Trevor melakukan tiga birdie dan satu bogey untuk catatan dua bawah par 70, dan terikat 13 di bawah par 203 bersama Andrew dan Jarin, pada kejohanan yang menawarkan wang tunai AS$1 juta (kira-kira RM4.16 juta). – Bernama