Pencari kerja disaran ambil peluang tingkat kemahiran

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Sejak tahun lalu, kursus-kursus yang dikendalikan untuk meningkatkan lagi kemahiran secara percuma bagi para pekerja di syarikat-syarikat tetap diteruskan meskipun dengan gelombang kedua penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah memberi contoh, kursus yang dianjurkan oleh Darussalam Enterprise menyaksikan penyertaan lebih 300 orang pada tahun kewangan 2020/2021 manakala pada tahun kewangan 2021/2022 setakat ini lebih 70 orang telah menyertainya.

Menurut beliau lagi, kursus-kursus yang ditawarkan adalah dalam pelbagai bidang perniagaan termasuklah dalam bidang pemasaran, kewangan, perakaunaan dan sebagainya.

Semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa di bawah Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) juga menyediakan banyak kursus untuk anak tempatan sebagai satu inisiatif yang disokong oleh Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Oleh itu, orang ramai yang belum mendapatkan sebarang pekerjaan bolehlah menggunakan peluang yang ada untuk meningkatkan kemahiran mereka bagi mempersiapkan diri apabila keadaan pulih seperti sebelumnya nanti.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani