Pencari suaka dari Jerman diterima semula

BERLIN, 9 Ogos – Sepanyol bersetuju untuk menerima semula pencari suaka dari Jerman yang masuk ke Kesatuan Eropah (EU) melalui negara itu, lapor agensi berita Xinhua kelmarin.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Jerman berkata, persetujuan itu khusus kepada pencari suaka yang berada di bawah tanggungjawab Sepanyol berdasarkan di bawah peraturan rejim Dublin III.

Perjanjian dua hala berhubung perkara itu akan berkuatkuasa pada 11 Ogos, hari yang sama, Kaunselor Jerman Angela Merkel dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengenai dasar penghijrahan Eropah di Andalusia.

Pihak berkuasa Jerman hanya boleh menolak kemasukan warga asing tanpa dokumen jika mereka tidak merancang untuk membuat permohonan mendapatkan permit untuk tinggal di negara itu dalam tempoh tertentu.

Bagaimanapun sehingga Sabtu, peraturan itu tidak lagi terpakai bagi mereka yang bukan warganegara EU yang cuba memasuki Jerman secara tidak sah melalui Sepanyol. Mereka akan dihantar semula ke sempadan Sepanyol dalam tempoh 48 jam.

Beberapa orang pendatang dipindahkan ke Pusat Bantuan Sementara untuk Warga Asing (CATE) di San Roque, setelah tiba di pelabuhan Algeciras di selatan Sepanyol, kelmarin. Sepanyol bersetuju untuk menerima semula pencari suaka dari Jerman yang masuk ke Kesatuan Eropah (EU) melalui negara itu. – AFP

Menteri Dalam Negeri Jerman, Horst Seehofer turut merancang untuk menandatangani perjanjian sama dengan Itali dan Greece, dua negara laluan utama bagi pendatang dan pelarian ke EU selain Sepanyol.

Berbeza dengan Sepanyol, Itali dan Greece enggan membuat tawaran tanpa syarat untuk menerima semula pencari suaka dari Jerman, yang secara teknikal berada di bawah tanggungjawab mereka.

Bilangan pencari suaka yang tiba di Jerman menurun mendadak sejak berlakunya krisis pelarian pada 2015.

Pada separuh pertama tahun 2018, Sepanyol mengatasi Greece dan Itali sebagai destinasi utama pencari suaka dan pendatang yang datang ke Eropah dari Afrika. – Bernama