SYDNEY, 5 Mac – Seorang lelaki yang ditahan di pusat tahanan imigresen di Sydney meninggal dunia sekali gus menjadikan kes itu sebagai kematian kali kedua dalam tempoh kurang dua bulan dan mencetuskan kebimbangan berhubung keadaan persekitaran rangkaian pusat tahanan di kawasan daratan di Australia.
Lelaki berkenaan dipercayai seorang pencari suaka dari Iraq, bertindak membunuh dirinya di Pusat Tahanan Imigresen Villawood pada lewat malam semalam, menurut penyokong pelarian, Ian Rintoul kepada AFP.
Para pegawai Australia mengesahkan kematian lelaki berkenaan tanpa memberikan sebarang maklumat terperinci, dengan berkata perkara tersebut disiasat oleh beberapa buah agensi kerajaan dan jabatan koroner negara itu.
“Mereka (yang berada di dalam Villawood) berkata dia mengalami kemurungan dan tidak keluar dari biliknya,” kata Rintoul mengenai tahanan itu.
Kes kematian terbaharu itu berlaku enam minggu selepas seorang tahanan lelaki yang dilaporkan berasal dari Sierra Leone, meninggal dunia di Villawood.
Menurut Rintoul, lelaki berkenaan juga seorang pencari suaka dan dipercayai telah bertindak membunuh dirinya.
Australia mempunyai dasar tahanan mandatori terhadap para penghijrah haram termasuklah kesalahan kecil seperti visa tinggal lebih masa.
Kumpulan hak asasi kemanusiaan telah memberi amaran mengenai perbuatan membahayakan diri di pusat tahanan di daratan dan luar pantai Australia, dengan berkata para tahanan berdepan kesukaran dengan isu kesihatan mental di tengah-tengah tempoh tahanan lama yang boleh berlanjutan selama bertahun-tahun.
Bulan lalu, para pegawai kerajaan menafikan berlaku tindakan mogok lapar di seluruh rangkaian pusat tahanan daratan berhubung keadaan persekitaran di pusat kemudahan itu, dengan berkata para tahanan telah diberikan makanan, penjagaan kesihatan dan aktiviti berkualiti. – AFP

































