Pencarian bakat baharu bermula

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) memulakan proses pencarian pemain untuk pasukan kebangsaan dengan mengadakan satu sesi latihan di Padang Bola Sepak NFABD, Berakas bagi mencungkil pemain berpotensi untuk diketengahkan.

Sesi latihan tersebut menampilkan pemain yang berpusat di kelab domestik dari Liga Super Brunei (BSL), di mana senarai pemain diperoleh dari Pengarah Teknikal, Sivaji Narayan dan disertai oleh pengurusan pembimbing yang berpengalaman.

Perkara tersebut dikongsi oleh Penolong Jurulatih, Haji Mohammad Halimi bin Haji Abu Bakar dalam temu bual bersama media di Rumah NFABD semasa sesi latihan tersebut. Pemain termuda dalam sesi latihan berusia 18 tahun sementara pemain paling berusia ialah Sairol Sahari, yang disenaraikan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Seperti yang dimaklumkan oleh Sivaji Narayan, Piala Suzuki AFF berkemungkinan diadakan pada bulan April tahun depan, jadi kami mempunyai waktu untuk mencari bakat baharu yang akan diserap dalam pasukan kebangsaan.

“Kami telah diberi mandat untuk mengadakan sesi latihan dan mencari pemain berbakat yang berpotensi untuk diserap ke Piala Suzuki AFF atau pertandingan yang diatur oleh FIFA dan AFC,” tambahnya.

Para pemain ketika mengambil bahagian dalam sesi latihan tersebut.

Pasukan pelatih juga akan dibimbing oleh Ali Mustapha sebagai ketua jurulatih yang dibantu oleh penolong-penolong jurulatih Haji Mohammad Halimi dan Haji Zainuddin bin Kasim. Ali sebelum ini menguruskan pasukan bawah 16 tahun Brunei dalam pertandingan antarabangsa sementara Haji Zainuddin pernah bertugas untuk pasukan kebangsaan dalam kelayakan Piala Dunia.

Barisan jurulatih juga termasuk jurulatih kecergasan Pengiran Sallehuddin bin Pengiran Haji Damit dan jurulatih penjaga gol Sabri bin Haji Ismail. Menurut Haji Mohammad Halimi, latihan akan diadakan selama empat hari berturut-turut sehingga Isnin depan.

Penolong jurulatih berkongsi bahawa objektif latihan adalah untuk menilai kredibiliti dan kemampuan pemain.

“Kami ingin melihat pemahaman pemain mengenai latihan dan taktik yang kami berikan mengikut standard semasa,” tambahnya.

Sebagai jurulatih, tambahnya, beliau ingin melihat negara berjaya dalam sukan bola sepak, sekali gus meletakkan Brunei di peta dunia.

Antara wajah baharu termasuk penjaga gol Wijaya FC, Awangku Ashraf bin Pengiran Jaledi dan pemain berbakat dari Kasuka FC, Aisan Aizudin.