Pencarian kontak masih dilaksanakan

Oleh Salawati Haji Yaya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Dengan jumlah 76 kes hari ini, diharap jumlah kes akan menurun dalam beberapa hari akan datang walaupun pencarian kontak masih dilakukan dan apa yang penting untuk terus teranah di rumah dan hanya keluar bila perlu sahaja.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar melahirkan harapan tersebut pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, seperti lazimnya setiap kontak akan diarah untuk tampil membuat swab dan dengan cara ini secara tidak langsung jumlah kontak akan semakin berkurangan.

“Dengan mengambil langkah untuk teranah di rumah dan kerana kita sudah berada dalam peringkat semi lockdown, kita dapat mengawal penularan wabak,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah, walaupun jumlah kes menurun hari ini, ia tidak akan terus menurun dan ini bergantung kepada mereka yang menjalani swab dan kontak yang demam juga diingatkan untuk dapat membuat swab.

Manakala itu, bagi mereka yang demam di rumah juga disarankan untuk tampil ke klinik bagi membuat swab walaupun tidak ada kena mengena dengan kontak positif yang mereka ketahui.