Pencarian mangsa terselamat gempa di Turki diteruskan

ANKARA, TURKI, 26 JAN – Pasukan Penyelamat Turki meneruskan usaha mengeluarkan mangsa terselamat daripada runtuhan bangunan hari ini, lebih daripada satu setengah hari selepas gempa kuat melanda negara itu, membunuh sekurang-kurangnya 31 orang.

Gempa berukuran magnitud 6.8 skala Richter itu mencederakan 1,556 orang dan 45 orang telah dikeluarkan dari runtuhan setakat ini, Presiden Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) berkata.

Berikutan keadaan cuaca suhu mencecah -5 darjah Celcius, pasukan kecemasan telah mendirikan lebih daripada 9,500 khemah untuk menempatkan penduduk dan mengagihkan kira-kira 17,000 makanan panas.

Pasukan penyelamat memberikan tumpuan bantuan di kejiranan Mustafa Pasa di bandar Elazig dan berhampiran bandar Sivrice, kawasan perumahan yang terletak berhampiran dengan pusat gempa pada malam Jumaat lalu.

Televisyen Turki menunjukkan Ayse Yildiz, 35 dan anak perempuannya, Yusra, 2, telah diselamatkan daripada runtuhan bangunan pangsapuri di daerah Mustafa Pasa. Mereka telah terperangkap selama 28 jam selepas gempa bumi melanda.

Hampir 600 gempa susulan menggegarkan kawasan itu, ketika pasukan penyelamat giat bekerja. Gempa bumi berukuran 4.3 magnitud melanda daerah Puturge di wilayah kejiranan Malatya pada awal hari ini, kata AFAD.

Gempa bumi utama melanda pada Jumaat pukul 8:55 petang waktu tempatan. Gempa bumi sering berlaku di Turki, yang terletak di atas dua garis sesar utama. Dua gempa bumi kuat melanda laut Turki pada tahun 1999, membunuh sekitar 18,000 orang. – AP

Para penyelamat melakukan kerja-kerja menyelamat untuk mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan, selepas gempa bumi melanda Elazig, timur Turki. – AP