Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencarian pengasuh untuk pengembaraan mengelilingi dunia

    UTAH, Amerika Syarikat – M’Kenzie dan Derek Tillotson telah merancang untuk mengembara mengelilingi dunia bersama tiga orang anak mereka yang masih kecil dan mereka sedang mencari pengasuh untuk membantu mereka dalam perjalanan itu.

    Pada awalnya mereka memuat naik video ke laman Facebook dengan harapan untuk mendapatkan beberapa permohonan namun tawaran mereka mendapat lebih banyak sambutan dari apa yang diharapkan. Mereka menerima hampir 20,000 mesej daripada individu-individu yang berminat.

    Pasangan tersebut menguruskan sebuah blog yang berkisar mengenai pengembaraan keluarga, ‘Five Take Flight’ dan baru-baru ini membuat keputusan untuk menjual rumah mereka di Utah untuk mengembara mengelilingi dunia. Mereka bercadang untuk berlepas pada bulan Julai dari Utah ke New York City, kemudian ke Iceland dan seterusnya ke negara Eropah lainnya. Mereka akan kembali ke tanah air selama dua minggu untuk menyambut Krismas dan kemudian menyambung perjalanan mereka ke Hawaii, New Zealand dan akhir sekali Asia. Meskipun ia kedengaran menyeronokkan, namun ia juga pasti mencabar bagi menjaga tiga orang anaknya. Oleh yang demikian, mereka membuat keputusan untuk membawa seorang pengasuh untuk membantu mereka dalam pengembaraan itu.

    “Kami mencari seseorang yang dapat menyayangi anak-anak kami sepertimana kami menyayangi mereka, walaupun ketika mereka membuat perangai seperti ini,” kata M’Kenzie dalam videonya yang turut merakamkan perangai anak-anaknya. “Kamu akan dilayan dengan hormat dan kamu akan dapat menyuarakan pendapat kamu.” Pengasuh mereka akan menguruskan pembelajaran di rumah dua anak lelaki mereka di samping menjaga anak damit perempuan mereka dan memasak serta mengemas.

    “Sangat susah untuk kami memberitahu jumlah jam bekerja yang tepat ke-rana kamu akan tinggal bersama kami. Tapi kamu setentunya akan ada hari cuti untuk keluar dan membuat pengembaraan kamu sendiri,” ulas Tillotson. Mereka menambah lagi bahawa individu yang terpilih akan menerima gaji sebanyak AS$1200–AS$1500 sebulan. Walaupun itu termasuk perbelanjaan perjalanan dan kos hidup lain, beberapa orang mengatakan jumlah itu sangat sedikit untuk kerja yang diberikan.

    M’Kenzie dan Derek Tillotson telah merancang untuk mengembara mengelilingi dunia bersama tiga orang anak mereka yang masih kecil dan mereka sedang mencari pengasuh untuk membantu mereka dalam perjalanan itu.
    M’Kenzie dan Derek Tillotson telah merancang untuk mengembara mengelilingi dunia bersama tiga orang anak mereka yang masih kecil dan mereka sedang mencari pengasuh untuk membantu mereka dalam perjalanan itu.

    Mereka bercadang untuk berlepas pada bulan Julai dari Utah ke New York City, kemudian ke Iceland dan seterusnya ke negara Eropah lainnya dan kembali ke tanah air selama dua minggu untuk menyambut Krismas dan kemudian menyambung perjalanan mereka ke Hawaii, New Zealand dan akhir sekali Asia.
    Mereka bercadang untuk berlepas pada bulan Julai dari Utah ke New York City, kemudian ke Iceland dan seterusnya ke negara Eropah lainnya dan kembali ke tanah air selama dua minggu untuk menyambut Krismas dan kemudian menyambung perjalanan mereka ke Hawaii, New Zealand dan akhir sekali Asia.

    “AS$1200–AS$1500 sebulan? Untuk memasak, mengemas dan mengajar pembelajaran di rumah?. Itu bukan tawaran yang baik. Saya sedar yang pengasuh akan dapat mengembara sekeliling dunia namun gaji itu tidak mencukupi untuk kerja yang kamu lakukan,” tulis seorang pengguna Facebook.

    “Walaupun kamu seorang penjaga kanak-kanak yang sukakan pengembaraan, lindungi diri kamu dari pekerjaan yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang ini. Minta bantuan dari agensi yang menjaga kebajikan majikan dan pekerja,” komen seorang lagi pengguna Facebook.

    Namun M’Kenzie Tillotson menjelaskan lagi situasi tersebut “Kami mencari pengasuh yang akan membantu kami jika perlu, memandangkan kami akan tinggal di rumah yang sama, bukan membuat semua kerja. Pengasuh kami akan mendapat cuti dua hari dalam seminggu dan setentunya ada masa untuk diri sendiri setiap hari. Kami bukan mencari Cinderella!”

    Meskipun mereka mendapat kritikan, kebanyakan maklum balas terhadap video Tillotson sangat positif dan keluarga tersebut mendapat banyak permohonan daripada sangkaan. Tarikh tutup permohonan tersebut pada awalnya ditetapkan pada 17 Januari, namun setelah mendapat lebih daripada 19,000 permohonan dalam beberapa hari, mereka membuat keputusan untuk menutup permohonan tersebut pada 9 Januari yang lalu.

    “Kami mendapat respon dari individu-individu yang menarik, dan ia sangat menyentuh perasaan kami,” ulas Derek. “Semasa kami memulakan pencarian ini, kami sejujurnya menjangkakan seseorang dari bandar lain atau mungkin kenalan kawan kami akan menjadi pilihan yang tepat. Kami sangat terkejut dengan sambutan yang sangat menggalakkan ini.”

    Pasangan Tillotson memberitahu bahawa setakat ini mereka telah menerima permohonan dari individu-individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza termasuklah guru, jururawat, pekerja sosial dan doktor. Mereka sempat bergurau mengatakan individu-individu ini lebih berkelayakan untuk menjaga anak-anak mereka dari mereka sendiri.

    “Saya berharap akan terpilih namun jika sebaliknya, ini merupakan perkara yang sangat menakjubkan. Semoga berjaya semua!” tulis seorang daripada pengguna Facebook.

    “Ini akan menjadi satu pengalaman yang sangat menarik bagi individu yang terpilih. Terima kasih kepada keluarga ini kerana memberikan peluang yang sangat menakjubkan,” komen seorang lagi pengguna Facebook.

    Sebanyak 19,000 permohonan kedengaran sangat banyak, walau bagaimanapun jika tiada seorang pun yang layak bagi pasangan Tillotson, sesiapa yang berminat masih boleh mendaftar bagi senarai menunggu dalam laman sesawang pengembaraan mereka. Semoga berjaya!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda