Pencarian tali pinggang legasi puak Wampanoag

SOUTHAMPTON, ENGLAND – Sekitar 400 tahun setelah penjajah Inggeris mendarat di Plymouth Rock dan menindas kehidupan nenek moyangnya, Paula Peters kini sedang dalam misi untuk mendapatkan semula bahagian kecil yang telah hilang daripada budaya masyarakatnya.

Upacara-upacara peringatan rentas Atlantik selama setahun menandakan ulang tahun ke-400 pelayaran Mayflower dibukakan di Southampton, England, pada Sabtu (15 Ogos lalu) dengan pameran yang tertumpu kepada salah satu korban penjajahan, tali pinggang wampum milik Metacom, pemimpin puak asli Amerika Wampanoag.

Dianyam dengan corak yang menggambarkan sejarah dan legenda puak tersebut, tali pinggang bermanik berkenaan adalah “sama pentingnya bagi Wampanoag dengan mahkota permata kepada raja England,” ujar Peters, penulis dan pendidik Wampanoag.

Pada tahun 1620, puak Wampanoag, yang telah menetap di tempat yang kini dikenali sebagai New England selama milenia, telah membantu peneroka-peneroka Mayflower yang kepenatan menghadapi musim sejuk pertama mereka. Walau bagaimanapun setelah beberapa dekad, ketegangan telah meletus menjadi konflik ganas pada 1670an yang dikenali sebagai Perang Raja Philip. Metacom telah dibunuh, dan tali pinggangnya dipersembahkan kepada Raja Charles II England sebagai rampasan perang.

“Daripada apa yang kami tahu ia memang sampai ke UK, namun tidak pernah sampai ke tangan raja,” kata Peters dari rumahnya di Mashpee, Massachusetts. “Orang-orang kami sudah mencari tali pinggang itu selama beberapa generasi.”

Jo Loosemore (kanan) dan Kate Johnson, memindah tali pinggang wampum yang baharu selepas dibuka untuk dipamerkan di Southampton, England. – AP
Rekaan tali pinggang tersebut menceritakan kisah Wampanoag. – AP

Jo Loosemore menyusun cengkerang siput laut dan kerang berwarna putih dan ungu yang dipamerkan, jenis cengkerang yang digunakan untuk membuat tali pinggang wampum. – AP

Pencarian itu membawa Peters ke Muzium British, yang mempunyai salah satu koleksi tali pinggang wampum terbesar di dunia. Dia tidak menemukannya di sana, namun dia mendapat satu ilham. Wampanoag akan membuat tali pinggang baharu, kemudian menghantarnya ke England untuk dipamerkan. Ia akan membantu mengongsikan kisah mereka, dan mungkin akan membawa kepada petunjuk-petunjuk baharu dalam pencarian itu.

Tali pinggang wampum, diperbuat dengan manik-manik daripada cengkerang siput laut dan kerang berwarna putih dan ungu, memainkan peranan penting dalam kebudayaan Wampanoag dan puak asli lain di timur Amerika Utara.

Tali pinggang baharu itu menggunakan lebih 5,000 manik kecil dan disiapkan oleh 100 orang ahli komuniti mereka dengan memakan masa lebih dari enam bulan. Rekaannya menceritakan kisah Wampanoag.

Ia menampilkan corak-corak binatang yang mempunyai simbolik penting termasuk serigala, penyu dan helang, orang-orang daripada puak yang berbeza berpegangan tangan, dan sepohon pokok pain, yang akar-akarnya telah melahirkan puak Wampanoag menurut kisah mengenai asal-usul puak tersebut.

Pameran Wampum: Stories from the Shells of Native America dibukakan di Southampton setelah genap 400 tahun Mayflower memulakan pelayarannya dari bandar pelabuhan di selatan England ini, selepas perhentian tidak berjadual di Plymouth, England, untuk kehidupan baharu di seberang Atlantik.

Upacara-upacara peringatan akan diadakan pada tahun hadapan yang membabitkan empat bangsa termasuk Amerika Syarikat, British, Belanda, di mana pengembara-pengembara Puritan tinggal dalam buangan sebelum pelayaran mereka, dan Wampanoag.

Pandemik koronavirus bermakna ulang tahun pelayaran kapal itu dari England akan diraikan dengan upacara-upacara kecil-kecilan pada 16 September. Acara-acara utama telah ditunda ke tahun 2021, termasuk pelayaran rentas Atlantik oleh Mayflower 400, sebuah kapal tanpa kru.

Dengan penglibatan suara-suara Wampanoag yang menonjol ia jauh berbeza daripada ulang tahun ke-350 Mayflower pada 1970, apabila undangan kepada pemimpin Wampanoag, Frank James, untuk menyampaikan ucapan dibatalkan kerana hasratnya untuk menyentuh mengenai penyakit, sikap perkauman dan penindasan yang dibawa oleh pengembara-pengembara itu dalam ucapannya.

Jo Loosemore, kurator bersama pameran, mengatakan ia adalah penting untuk memberitahu bukan sahaja mengenai kisah orang-orang yang sampai ke sana 400 tahun yang lalu tetapi juga “kisah orang-orang yang ada di sana.”

“Pameran ini adalah diceritakan melalui suara Wampanoag,” katanya. “Oleh itu ia adalah seakan, harap-harap, mereka sedang bercakap kepada kita.”

Melalui gema sejarah yang menakutkan, tiga tahun sebelum kedatangan Mayflower, Wampanoag berhadapan dengan pandemik yang dikenali sebagai the Great Dying, di mana penyakit yang dibawa oleh orang-orang Eropah membunuh kira-kira 70 ke 90 peratus penduduk asli di kawasan itu.

“Apabila kita mula-mula bercakap mengenai the Great Dying, dan impak pandemik itu kepada orang-orang Wampanoag, barangkali kita masih belum memahaminya sepenuhnya,” ujar Loosemore. “Kini kita berada di tengah-tengah (pandemik) kita sendiri, kita lebih faham mengenainya, dan kita faham mengenai impaknya yang menakutkan kepada ramai orang.”

Tali pinggang wampum baharu itu dibiarkan tidak siap sepenuhnya, agar generasi-generasi masa hadapan dapat menambah bab-bab baharu dalam kisah mereka. Pemburuan tali pinggang Metacom diteruskan.

Pencarian di muzium-muzium UK dan Koleksi Diraja Ratu Elizabeth II berakhir dengan tangan kosong namun mendedahkan betapa banyaknya tali pinggang wampum kini berada di UK, sama ada dibeli atau dicuri satu ketika dahulu. – AP