Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Keluarga terutama ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu anak-anak mereka daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan harus ditangani pada peringkat awal kerana mencegah lebih baik daripada merawat.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah dan Pengasas Al-Amin Recovery Management, Awang Mohd Fazirul Hakeem bin Haji Mohd Zenudin kepada Media Permata semasa mengendalikan bengkel bertajuk ‘Kuasa Keluarga dalam Pemulihan daripada Ketagihan di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.
Bengkel anjuran Al-Amin Recovery Management menumpukan kepada isu penyalahgunaan dadah bagi membantu orang ramai khususnya anggota keluarga menerusi intervensi serta langkah-langkah awal pencegahan.
Bengkel itu dihadiri oleh wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) termasuk Presidennya, Datin Hajah Masni binti Haji Mohammad Ali.
Awang Mohd Fazirul Hakeem berkata bahawa bengkel itu menumpukan kepada para ibu bapa dan bagaimana mereka boleh mendidik anak-anak dengan menggunakan pendekatan berbeza bagi membantu mereka daripada terjebak ke dalam kancah penyalahgunaan dadah.

