BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Pemberian vaksin merupakan salah satu intervensi kesihatan awam yang sangat penting lagi kos efektif dalam pencegahan penyakit-penyakit dan seterusnya bagi menangani isu-isu kesihatan global.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan bahawa program imunisasi yang berkesan boleh mencegah antara dua hingga tiga juta kematian setiap tahun di seluruh dunia.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan, program imunisasi yang bersistematik adalah antara komponen yang sangat penting dalam penjagaan kesihatan yang harus diberikan kepada setiap individu dari sejak permulaan usia mereka semasa anak damit sehingga dewasa.
“Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, kita sangat beruntung kerana semua rakyat dan penduduk di negara ini dapat menerima perkhidmatan vaksin daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan.
“Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan (kanak-kanak yang berumur 0-5 tahun) adalah salah satu program yang disediakan di setiap klinik dan pusat kesihatan di negara ini.
“Semua ini adalah salah satu langkah ke hadapan dalam memperluaskan akses kepada imunisasi terutamanya dalam kalangan anak-anak damit dan kanak-kanak di negara ini, di samping untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) dan liputan kesihatan sejagat.”
Yang Berhormat Dato berkata sedemikian dalam perutusannya sempena Minggu Imunisasi Sedunia sedang berlangsung, bermula 27 hingga 30 April, dengan membawa tema ‘Perlindungan Bersama, #VaksinBerkesan’
Tambah beliau lagi, dengan adanya Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, Brunei telah berjaya mencapai dan mengekalkan kadar liputan imunisasi kanak-kanak iaitu pada tahap yang melebihi 95 peratus liputan setiap tahun.
Statistik kadar liputan imunisasi dalam kalangan kanak- kanak ini telah mencapai Sasaran SDG 2030.
Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan terus berusaha untuk menambah baik perkhidmatan yang sedia ada agar pencapaian ini dapat kekalkan dan juga tingkatkan.
Beliau mengongsikan, antara impak kesihatan yang sangat ketara daripada pemberian vaksin bagi kanak-kanak damit adalah ia boleh mencegah penyakit, kecacatan dan kematian seperti daripada penyakit Hepatitis B, Campak (Measles), Beguk (Mumps), Polio dan Tetanus.
Sementara itu, pemberian vaksin bagi mereka yang berisiko tinggi seperti penghidap penyakit-penyakit kronik, pengendali makanan dan pekerja-pekerja kesihatan (front liners) dapat memberikan perlindungan daripada penyakit-penyakit yang boleh mengancam nyawa seperti influenza dan meningitis yang lazimnya dihidapi semasa umur dewasa.
Atas komitmen yang berterusan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, khususnya di bawah program imunisasi bagi yang berisiko tinggi dan penjagaan kesihatan awam telah berjaya menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu negara yang diisytiharkan bebas daripada Malaria oleh WHO pada tahun 1987, bebas Polio pada 2000, bebas Measles pada 2015 dan bebas Rubela pada November 2018.
Menyentuh mengenai Minggu Imunisasi Sedunia, deliau berkata, ia disambut setiap tahun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan individu, keluarga dan masyarakat untuk mengambil perhatian dan memainkan peranan aktif dalam membantu mengurangkan beban global terhadap penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin.
Tema sambutan yang berlainan setiap tahun akan dijadikan sebagai satu landasan utama untuk menarik perhatian orang ramai mengenai isu-isu yang berkaitan dengan imunisasi.
Menurut beliau, tema tahun ini telah dipilih bagi menarik perhatian orang ramai mengenai betapa pentingnya tindakan secara bersepadu daripada pelbagai pihak dalam memastikan setiap orang dapat dilindungi daripada penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin, dan seterusnya untuk menambah baik kadar liputan imunisasi negara demi mendapatkan manfaat perlindungan vaksin yang berkesan.
Tema juga menekankan peranan dan tanggungjawab semua lapisan masyarakat, termasuk penggubal dasar, pekerja-pekerja kesihatan, ibu bapa, penjaga dan individu dalam bersama-sama untuk berusaha dalam meningkatkan kadar liputan imunisasi demi melindungi kanak-kanak khususnya dan komuniti secara amnya dengan lebih meluas dan efektif.