Pencemaran jejas mata pencarian penternak tiram

NORWALK, CONNECTICUT – Norm Bloom suka melihat cucunya yang berusia 5 tahun, Jack, bersiar-siar di salah sebuah bot tiram mereka berpakaian dalam sut randuk, membantu kru kapal ketika mereka menarik sangkar yang penuh dengan kerang-kerangan dari dasar Norfolk Harbor.

“Dia akan keluar berada di atas dek sepanjang hari jika boleh,” kata Bloom, semasa satu perjalanan terbaharu bersama anak lelakinya, Jimmy. “Atau mungkin adik perempuan Jack, Grace yang mengikut mereka; dia suka mengotorkan bajunya, dia mungkin berakhir menjadi penternak tiram seterusnya dalam keluarga.”

Apa-apa pun, Norm dan Jimmy Bloom yakin Copps Island Oysters, perniagaan penternakan tiram keluarga seluas 12,000 ekar yang telah wujud di Norwalk sejak tahun 1940, akan mewarisi generasi seterusnya.

Ia tidak semestinya jelas. Industri tiram di Connecticut sekali lagi berkembang pesat, kira-kira 25 tahun selepas ia hampir lenyap, dihapus oleh MSX, sejenis penyakit parasit yang menye-rang tiram.

Usaha yang dijalankan oleh kerajaan dan swasta untuk membersihkan Long Island Sound, membangunkan kerang-kerangan yang tahan penyakit dan mencari pasaran baharu telah membantu akuakultur itu menjadi perniagaan AS$30 juta setahun di Connecticut, dengan tiram menyumbang kepada kira-kira separuh daripada jumlah tersebut, kata pegawai pertanian negeri.

Darwin Ceveda membuka bahagian bawah sangkar untuk memunggah ratusan tiram ke kapal kerang-kerangan milik Copps Island Oysters di luar Norwalk, Connecticut. – AP
Pekerja menyediakan tiram untuk dibungkus dan dihantar dalam bilik sejuk di Copps Island Oysters di Norwalk, Connecticut. – AP
Sebakul tiram bersedia untuk dipek dan dihantar di Copps Island Oysters. – AP

“Kami merupakan pengeluar tiram Napa Valley,” kata Gabenor Ned Lamont pada bulan lalu, sementara menandatangani satu rang undang-undang yang akan memberikan potongan cukai kepada industri, menganggap dan melayan penternak tiram sama seperti petani di darat.

Terdapat ladang akuakultur di sepanjang pinggir laut Connecticut, di mana habitat ideal wujud, terutamanya di muara sungai di mana air tawar mengalir ke Long Island Sound.

Ladang-ladang itu dibantu oleh kerajaan Connecticut, yang menyelenggarakan lebih daripada 17,500 ekar tempat pembiakan kerang-kerangan asli.

Penternak tiram mendapat permit untuk mengusahakan tempat pembiakan awam berkenaan, mengumpul anak tiram untuk dipindahkan ke tempat penternakan mereka sendiri. Ia merupakan satu sistem yang membantu mengekalkan industri berkenaan, walaupun dalam tahun-tahun meleset, menurut pegawai pertanian.

Penternak juga mengalami tahun-tahun yang merugikan, apabila parasit membunuh tiram.

Ribut besar seperti Sandy dan Irene telah merosakkan sistem kumbahan, mencemari pelabuhan sementara mengeluarkan tapak pembiakan kerang-kerangan dan menimbusnya di bawah kelodak, di mana tiram lemas dan mati.

Dalam tempoh tiga dekad lalu, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan majlis perbandaran, pakar industri, pengurusan pelabuhan tempatan dan kumpulan komisen kerang-kerangan dan alam sekitar seperti Harbor Watch untuk memantau dan mempertingkat kualiti air di Island Sound, sungai yang mengalir ke dalam kawasan itu dan muaranya.

Dick Harris, yang menubuhkan Harbor Watch, mengawasi kualiti air di tujuh pelabuhan untuk syarikat Bloom.

Menurutnya, ujian yang kerap dan siasatan seterusnya telah mendorong kepada penutupan pelbagai sambungan ke parit, di mana syarikat didapati telah membuang kumbahan mentah ke dalam air.

Ia bermakna air lebih bersih dan kurang hari yang diperlukan oleh penternak tiram untuk menggantung operasi disebabkan jumlah bakteria yang tinggi.

“Apabila saya pertama melakukannya, Norwalk Harbor merupakan satu bencana,”kata Harris. “Paras oksigen rendah, pelbagai jenis ikan terbunuh setiap tahun disebabkan kekurangan oksigen, jumlah bakteria yang amat tinggi.

“Hari ini kami berada dalam kedudukan di mana pengiraan jumlah bakteria di kawasan luar pelabuhan pada hari biasa adalah sifar.”

Namun industri itu terus berdepan ancaman, daripada infrastruktur kumbahan lama sehinggalah perubahan iklim.

Tessa Getchis, seorang pakar akuakultur di Connecticut Sea Grant, program dari Universiti Connecticut yang menyokong akuakultur di Long Island Sound, berkata masalah terbesar yang diterimanya dari penternak tiram adalah peningkatan dalam kekerapan ribut teruk dan penutupan kawasan penternakan kerang-kerangan disebabkan pencemaran.

“Malah ribut yang sederhana boleh mencetuskan gangguan ke atas perniagaan,” kata beliau.

“Bukan sahaja penutupan kawasan penternakan boleh dilanjutkan, namun dalam kebanyakan kes, bot dan peralatan mungkin dipindah semula buat sementara waktu untuk mengelakkan kesan.”

Namun teknik perladangan moden juga membantu, kata beliau.

Keluarga Bloom, misalnya, sedang membangunkan tapak penetasan tiram di New Haven, yang akan membantu memastikan ladang mereka sentiasa mempunyai bekalan anak kerang-kerangan yang mencukupi.

Pada tahun lalu, apabila restoran ditutup disebabkan pandemik koronavirus, pasaran tiram terjejas. Namun beberapa syarikat berupaya menyesuaikan diri.

Di Indian River Shellfish, sebuah syarikat tiram kecil di kawasan Madison-Clinton, pemilik Mike Gilman dan George Harris membuka sebuah gerai ikan supaya mereka boleh menjual secara langsung kepada pelanggan, membantu menebus pendapatan yang hilang.

UConn’s Sea Grant juga membantu mengekalkan pendapatan penternak tiram dengan menggaji mereka untuk memelihara tempat pembiakan semula jadi di negeri itu.

Mereka akan mencari kerang tiram yang telah ditimbus dalam kelodak dan lumpur dan memindahkannya ke kawasan di mana larva tiram boleh melekat kepada mereka dan mula membesar.

Lebih daripada 1,800 ekar tapak pembiakan berkenaan telah dipulihkan pada tahun 2020, menurut pegawai.

Gilman sedang mendesak kerajaan supaya melakukan lebih untuk membantu operasi kecil seperti yang dimilikinya. Undang-undang akuakultur pada tahun ini termasuk pembiayaan untuk majlis kerang-kerangan dan dana untuk pemasaran.

“Saya berharap kerajaan negeri akan menubuhkan jejak tiram,” kata Gilman. “Dengan cara itu, orang boleh mengunjungi pantai dari tempat ke tempat, merasa pelbagai jenis tiram yang kami ada. Kemudian, kami benar-benar akan menjadi tiram Napa Valley.” – AP