BUKAVU, DR CONGO – Di antara bukit-bukau di sekitar hujung selatan Tasik Kivu yang megah, timbunan besar sisa plastik menaiki paras air dan menyekat turbin loji hidroelektrik terbesar di timur Republik Demokratik (DR) Congo.
Empangan Ruzizi dicemari oleh beribu-ribu botol, tin dan objek lain yang dibuang ke dalam tasik tersebut, yang membentang 90 kilometer di sepanjang sempadan antara Congo dan Rwanda.
“Memandangkan tasik tersebut mengalir ke arah Sungai Ruzizi, semua sisa yang dibuang ke dalamnya datang ke sini sedikit demi sedikit,” kata pengurus pengeluaran di stesen jana kuasa empangan berkenaan, Lievin Chizungu kepada AFP.
Keadaan muka bumi bergunung-ganang dan iklim hujan di sekitar Bukavu di tepi tasik, ibu kota wilayah Kivu Selatan, tidak membantu.
“Air hujan membawa sisa ke dalam tasik kemudian ke sungai,” Jovy Mulemangabo, seorang jurutera di syarikat elektrik nasional (SNEL) di selatan Kivu memberitahu AFP.
Chizungu berkata longgokan sisa boleh mencapai kedalaman 14 meter. Penyelam membersihkan dasar sungai untuk mengelakkan serpihan daripada menyumbat turbin. Jika sisa terperangkap, bandar-bandar di kawasan itu kehilangan kuasa.
Pekerja lain membersihkan permukaan, menggunakan tongkang.
“Saya telah melakukan kerja ini selama 13 tahun,” kata Byunanine Mubalama kepada AFP.
“Setiap hari ada sampah yang perlu saya bersihkan.”
‘Impaknya sangat besar’
Walau bagaimanapun, ia tidak mencukupi yang menyebabkan satu daripada empat unit dalam loji itu telah rosak akibat serpihan pada penghujung Januari, dan ia masih tidak berfungsi.
“Kesannya sangat besar. Kami mempunyai defisit 6.3 megawatt (MW) daripada 30 jumlah MW yang mesti kami hasilkan bukan sahaja untuk Kivu Selatan, tetapi juga untuk wilayah Kivu Utara yang berdekatan dan untuk Burundi,” kata Chizungu.
Sampah juga menyebabkan alternator gagal di loji janakuasa Ruzizi 2 kira-kira 25 kilometer ke selatan Bukavu. Dengan berlakunya kerosakan pada kedua-dua loji, mereka kekurangan 20 MW, kata Chizungu.
Perkara tersebut telah mencetuskan banyak bekalan elektrik terputus di Bukavu dan Uvira.
Nicole Menemene, 29, mengumpul sisa plastik di tepi tasik untuk membuat bakul, pasu bunga, kerusi dan meja makan. Dia menjalankan sebuah syarikat swasta bernama Plastycor yang mengubah sampah menjadi objek “cantik dan berguna”.
“Kami melakukan kerja dengan hasil buatan tangan,” kata Menemene.
Syarikat berkenaan mempunyai 10 pekerja, tetapi matlamatnya adalah untuk mengindustrikan kerja mereka. Dengan projeknya dan usaha tempatan yang lain, Menemene berharap untuk melihat pengurangan 90 peratus pencemaran Tasik Kivu.
‘Kita perlu mengajar orang’
Oleh itu, pendidikan adalah langkah pertama yang penting dalam mengurangkan timbunan plastik tasik, kata Chizungu.
“Pertama, kita perlu mengajar orang ramai bahawa mereka tidak boleh membuang sisa ke tasik,” katanya sambil menambah bahawa pihak berkuasa harus bertindak tegas terhadap orang ramai yang membuang sampah di perairan.
Tetapi bagi sesetengah penduduk tempatan, ia tidak begitu mudah.
“Rumah kami bersesak-sesak-sesak di kawasan kecil. Tiada cara untuk menguruskan sampah,” kata Mathilde Binja. “Saya tiada pilihan selain membuangnya ke dalam sungai Kawa, yang membawanya ke dalam tasik.”
Bandar berkenaan menawarkan perkhidmatan kutipan dan pelupusan sampah dengan harga AS$3 hingga AS$5 sebulan, pengarah Program Pengurusan Sisa Isi Rumah (PGDM) Bukavu, Malgache Malyanga memberitahu kepada AFP.
“Ramai penduduk lebih suka membuang sampah mereka di jalan raya pada waktu malam atau di tasik,” kata Malyanga.
Ini mungkin disebabkan oleh kejahilan atau kekurangan wang untuk membayar perkhidmatan pembuangan sisa, tambahnya.
Sementara itu, bagi memerangi pencemaran sisa plastik yang memenuhi tasik, lautan mahupun darat, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melancarkan rundingan pada Mac di Kenya untuk perjanjian global menentang pencemaran plastik. – AFP