Pencemaran sungai: Agong zahir dukacita

KUALA LUMPUR, 7 SEPT – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pencemaran Sungai Gong hingga menyebabkan kira-kira lima juta orang mengalami gangguan bekalan air di Lembah Klang adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Seri Paduka yang menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian berkenaan, bertitah agar pihak disyaki terlibat menyebabkan pencemaran dibawa ke muka pengadilan dan jika didapati bersalah dikenakan tindakan tegas dan hukuman lebih berat.

“Al-Sultan Abdullah yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual ini amat prihatin terhadap keluh kesah dan beban rakyat mengharungi situasi itu.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada rakyat yang terpaksa beratur menunggu giliran dan bertungkus lumus mengambil air setiap kali gangguan bekalan berlaku,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menerima menghadap Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka bertitah kes pencemaran sungai itu adalah kes pencemaran berulang menyebabkan kemudaratan

bukan sahaja kepada kehidupan rakyat, malah kepada sosioekonomi sehingga banyak perniagaan terpaksa ditutup berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Kes pencemaran Sungai Gong sejak Khamis lepas menyebabkan 1.2 juta akaun membabitkan kira-kira lima juta pengguna di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa mengenal pasti sebuah premis sebagai punca pencemaran sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas. – Bernama

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Istana Negara, kelmarin. – Bernama