Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Pencemaran udara: hampir 200,000 masuk hospital

    BANGKOK, 9 MAC – Hampir 200,000 orang di Thailand telah dimasukkan ke hospital kerana pencemaran udara minggu ini, kata pegawai, dengan Bangkok diselubungi jerebu berbahaya.

    Ibu kota Thailand, yang menempatkan kira-kira 11 juta orang dan salah satu destinasi pelancongan paling popular di dunia, telah diselubungi selama beberapa hari oleh campuran asap kenderaan kuning-kelabu yang tidak menyenangkan, pencemaran industri dan asap daripada pembakaran pertanian.

    Lebih 1.3 juta orang jatuh sakit di negara itu sejak awal tahun ini akibat pencemaran udara, dengan hampir 200,000 dimasukkan ke hospital minggu ini sahaja, menurut kementerian kesihatan awam. Pada Rabu, seorang doktor di kementerian itu, Kriangkrai Namthaisong telah menggesa kanak-kanak dan wanita hamil untuk kekal di dalam rumah.

    Sesiapa yang pergi ke luar perlu memakai topeng anti-pencemaran N95 berkualiti tinggi, tambahnya.

    Semasa satu lagi kemuncak pencemaran lewat Januari dan awal Februari, pihak berkuasa bandar menggesa orang ramai bekerja dari rumah.

    Gambar fail 7 Mac menunjukkan keadaan berasbut disebabkan pencemaran udara di Bangkok. – AFP

    Jurucakap gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt yang dipilih tahun lalu dengan janji untuk menambah baik persekitaran bandar itu berkata mereka tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan satu lagi perintah serupa jika keadaan bertambah teruk.

    Aekvarunyoo Amrapala memberitahu AFP bahawa taska yang dikendalikan oleh bandar itu telah menyediakan ‘bilik tanpa habuk’ khas dengan pembersih udara untuk melindungi kanak-kanak kecil, serta pusat pemeriksaan untuk memantau pelepasan kenderaan.

    Kementerian kesihatan awam berkata 50 daerah di Bangkok, kelmarin, merekodkan paras tidak selamat bagi zarah PM2.5 paling berbahaya sangat kecil sehingga boleh memasuki aliran darah manakala hari ini, ia kekal tinggi melebihi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

    Paras PM2.5 telah melebihi had selamat untuk kebanyakan Bangkok sejak tiga hari lalu, menurut jabatan kawalan pencemaran kerajaan.

    Keadaan itu lebih teruk di bandar utara Chiang Mai, di wilayah pertanian di mana petani membakar tunggul tanaman ketika musim ini.

    Sekitar tengah hari, destinasi pelancongan popular itu disenaraikan sebagai bandar ketiga paling tercemar di dunia oleh firma pemantauan IQAir. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...