Pencemaran udara masih teruk di New Delhi

NEW DELHI, 18 NOV – Pencemaran udara masih lagi sangat teruk di ibu negara India hari in, sehari selepas pihak berkuasa menutup sekolah dan stesen kuasa bagi mengurangkan asbut tebal yang menyelubungi bandar itu hampir sebulan.

Kualiti udara New Delhi kekal ‘teruk,’ kata agensi pemantauan alam sekitar India, SAFAR. Kepekatan partikel halus bawaan udara kurang daripada 2.5 mikron dalam diameter – dikenali sebagai PM 2.5 – menghampiri 300 mikrogram per kubik meter di sebahagian kawasan di bandar itu, menurutnya,

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan tahap selamat maksimum pada 25 mikrogram. Partikel halus boleh memasuki paru-paru dan organ lain, mengakibatkan kerosakan kesihatan jangka masa panjang.

New Delhi, bandar berpopulasi 20 juta orang, merupakan salah sebuah bandar paling tercemar. Kualiti udaranya lazimnya mencecah paras bahaya semasa musim dingin, ketika pembakaran tanaman sering dilakukan di ne-geri-negeri jiran yang bertepatan dengan suhu rendah memerangkap asap yang menyelubungi langit New Delhi.

Langkah-langkah kecemasan sudah dikuatkuasakan kelmarin dalam usaha mengekang krisis kesihatan, antaranya penutupan sekolah sehingga ke satu tempoh, majikan diminta mengerahkan separuh tenaga kerja bekerja dari rumah selama seminggu dan stesen kuasa berasaskan arang di pinggir New Delhi diarahkan ditutup dan kerja-kerja binaan dihentikan sementara.

Langkah-langkah itu bagaimanapun tidak memberikan banyak kesan, sehingga kerajaan negeri New Delhi mempertimbangkan untuk melaksanakan perintah berkurung di ibu negeri selepas Mahkamah Tinggi India mengarahkan mereka mencari penyelesaian segera menangani krisis. – AP

Asbut toksik masih membelenggu langit New Delhi, 18 November. Menurut SAFAR, pencemaran udara masih teruk di bandar itu sehari selepas pihak berkuasa mengambil beberapa langkah untuk mengekangnya. –AP