Pencemaran udara ‘risiko terbesar’ jangka hayat manusia

PARIS, 28 JULAI – Pencemaran udara mengurangkan jangka hayat untuk setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak di bumi sebanyak dua tahun, menurut data yang dikeluarkan hari ini yang dikatakan oleh pakar menunjukkan kualiti udara buruk merupakan ‘risiko terbesar kepada kesihatan manusia.’

Indeks Hidup Kualiti Udara (AQLI) berkata tatkala dunia berlumba untuk mencari vaksin untuk mengawal pandemik COVID-19, pencemaran udara terus mengakibatkan berbilion-bilion orang menjalani kehidupan yang lebih singkat dan berpenyakit di seluruh dunia.

Indeks itu mengkaji pencemaran partikel udara, terutamanya daripada pembakaran bahan fosil, dan kesannya ke atas kesihatan manusia.

Ia mendapati meskipun terdapat pengurangan besar dalam partikel di China, tahap pencemaran udara keseluruhan kekal stabil sejak dua dekad lalu.

Di sesetengah negara seperti India dan Bangladesh, pencemaran udara adalah amat teruk sehingga ia memendekkan jangka hayat purata di beberapa kawasan sebanyak satu dekad.

Penulis penyelidikan berkata kualiti udara yang disedut oleh manusia menyumbang kepada risiko kesihatan yang jauh lebih tinggi berbanding COVID-19.

“Walaupun ancaman koronavirus adalah serius dan memerlukan langkah utama, namun sekiranya tumpuan sama juga diberikan kepada masalah pencemaran udara, ia akan membenarkan berbilion orang hidup lebih lama dan lebih sihat,” kata Michael Greenstone, pengasas AQLI. – AFP