Pencemaran udara selubungi Kabul

KABUL, 21 Jan – Penduduk Kabul telah lama menghadapi serangan dan pengeboman berani mati. Bagaimanapun, pada musim sejuk ini mereka menghadapi satu lagi ancaman iaitu pencemaran udara.

Selama berminggu-minggu lamanya, lapisan tebal asap toksik telah menyelubungi bandar itu tatkala udara sejuk memerangkap pencemaran berpunca daripada orang yang membakar arang batu, kayu, tayar kereta malah sampah untuk memanaskan badan.

Pencemaran itu mencapai kemuncak pada petang dan awal pagi hari ini apabila suhu menurun kepada sifar.

Zarah berbahaya, termasuk toksin seperti sulfat dan karbon hitam, menyelubungi udara seperti tabir tebal, mengurangkan jarak penglihatan dan menyukarkan pernafasan.

Penduduk mengadu udara menjadi semakin teruk, satu pandangan yang disokong oleh doktor yang melaporkan pertambahan mendadak dalam penyakit pernafasan.

“Dalam tahun-tahun sebelumnya, 30 hingga 40 peratus daripada pesakit kami menderita daripada jangkitan pernafasan, namun pada tahun ini ia telah meningkat kepada 70 atau 80 peratus,” kata Akbar Iqbal, seorang doktor di unit penjagaan intensif (ICU) di hospital kanak-kanak Indira Gandhi di Kabul. – AFP

Gambar yang diambil pada 17 Januari 2019 menunjukkan pencemaran udara dan jerebu telah menyelubungi ibu negara Afghanistan, Kabul. – AFP