Pencen perkhidmatan, turunan pada 27 dan 29 Jun ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan melaksanakan pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (Balu dan Tanggungan) bagi Jun 2020 melalui kaedah pandu lalu di tiga buah daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait pada 27 dan 29 Jun ini.

Seperti yang dilaksanakan pada Mac, April dan Mei lalu, Jabatan Perbendaharaan akan meneruskan Pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (Balu dan Tanggungan) melalui kaedah pandu lalu di ketiga-tiga buah daerah berkenaan kecuali Daerah Temburong.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, pembayaran akan dibuat di Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa, bagi Daerah Belait di Dewan Persidangan Kuala Belait dan bagi Daerah Tutong di Dewan Kemasyarakatan, Tutong manakala itu, bagi Daerah Temburong pula, pembayaran akan dibuat di Pejabat Jabatan Perbendaharaan, Cawangan Temburong iaitu tempat lazim pembayaran dibuat setiap bulan.

Sehubungan itu, pembayaran pencen melalui kaedah pandu lalu dan melalui kaunter di Pejabat Jabatan Perbendaharaan, Cawangan Temburong akan bermula pada pukul 7:30 pagi hingga 3:30 petang pada tarikh-tarikh berkenaan. Pembayaran pada hari-hari berikutnya akan dibuat di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei dan Muara dan di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong selama 10 hari waktu bekerja.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga menyarankan para penerima yang mempunyai akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan untuk membawa bersama salinan kad akaun bank berkenaan untuk proses pembayaran pencen bagi bulan berikutnya.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga memohon kerjasama para penerima untuk mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa yang akan membantu dalam menyusun barisan kenderaan serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk tidak datang secara berkumpulan, keluar dari kereta dan berkumpul di kawasan pembayaran menunggu giliran masing-masing dan seterusnya untuk bersurai setelah urusan selesai.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atas tatacara pembayaran yang dimaksudkan, mereka boleh menghubungi talian-talian yang telah disediakan iaitu 2380822/2383469.

Gambar fail pelaksanan pembayaran pencen melalui kaedah pandu lalu pada Mac lalu. Pembayaran pada bulan Jun akan menggunakan kaedah yang sama – Gambar oleh Rahwani Zahari