Penceramah motivasi cilik jadi tarikan di Pakistan

PESHAWAR, Pakistan – Liuk lentuk bahasa tubuh menerusi isyarat tangan serta lontaran suara Hammad Safi Abdul Rehman Khan ketika menyampaikan syarahan motivasi memukau ratusan penonton di Universiti Ucapan Bahasa Inggeris (USECS) yang terletak di Peshawar, Pakistan.

Speaker motivasi yang menggayakan sut elegan itu bukan sahaja popular sehingga menarik ramai penonton tempatan ketika berucap malah ceramah sensasinya tular dalam Internet.

Keyakinannya menyampaikan syarahan berkenaan liku kehidupan itu membuatkan ratusan penonton khususnya dalam kalangan penuntut universiti terpesona. Tarikannya bukan terletak pada keghairahan mahupun senyuman yang sering dilemparkan oleh penceramah itu ketika berucap tetapi disebabkan usianya yang baru 11 tahun.

Penceramah motivasi cilik itu kemudian menjadi bintang dalam talian dengan lebih 145,000 langganan dalam saluran YouTubenya. Malah, terdapat klip video Hammad Safi yang ditonton sehingga jutaan kali.

Antara potongan ayat motivasi yang digunakan berbunyi klise seperti, ‘Setiap saat itu adalah cabaran’ dan ‘Kegagalan itu merupakan asas kejayaan’.

Penceramah motivasi cilik ini menjadi bintang dalam talian dengan lebih 145,000 langganan dalam saluran YouTubenya. Malah, terdapat klip video Hammad Safi yang ditonton sehingga jutaan kali. – AFP

Walaupun sesetengah nasihat yang dilontarkan menerusi klip videonya itu mungkin dianggap basi oleh sesetengah masyarakat namun, pengikut Hammad Safi tidak sedikit pun menghiraukannya. Penuntut jurusan sains politik, Bilal Khan, 22, berkata, syarahan motivasi Safi mempunyai keajaiban sehingga memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap kehidupannya.

“Beberapa bulan lalu saya pernah kecewa dengan hidup disebabkan tiada kerjaya sehingga terfikir untuk membunuh diri.

“Kemudian saya terdengar syarahan motivasi Hammad Safi dan saya terfikir, jika seorang budak berumur 11 tahun boleh berjaya, kenapa saya tidak?” katanya. Kematangan dan semarak belia dalam diri Safi ibarat sihir pemukau.

Disebabkan itulah, Hammad Safi dilihat sebagai representasi imej positif Pakistan yang berkuasa menjinakkan pendengarnya.

Di USECS, fakulti tersebut mengiktirafnya dengan istilah nanha profesor atau profesor cilik yang disifatkan sebagai prospek protege kepada kemajuan bangsa suatu hari nanti.

Sebelum ini, Safi menuntut di sekolah tradisional dan pada masa sama mengikuti kelas Bahasa Inggeris di USECS. Dari situlah, bakat serta keyakinan dirinya berucap di hadapan orang ramai dicungkil sehingga menjadi satu fenomena.

Tidak lama selepas itu, Safi berhenti sekolah demi menyambung pengajian Bahasa Inggeris sepenuh masa di USECS sekali gus melebarkan perjalanan karier motivasinya.

Safi kini mengadakan syarahan motivasi setiap minggu di universiti berkenaan dengan rata-rata penuntut terdiri daripada golongan kelas pekerja. Kata pengarah USECS, Ammer Sohail, Hammad Safi memainkan peranan tersendiri yang kritikal dalam institusi pendidikan di Pakistan.

“Tugas Hammad Safi ialah untuk menyuntik semangat kepada golongan pelajar miskin supaya mereka dapat memajukan diri untuk berjaya.

“Hal ini kerana berdasarkan laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 40 peratus populasi Pakistan tidak terpelajar kerana ketidaksamaan dalam pendidikan.

“Oleh itu, kami mahu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan ke seluruh negara ini,” katanya.

Sementara itu, bapa Safi yang merupakan seorang ahli perniagaan dari Peshawar, Abdul Rehman Khan, 48, berkata, Hammad Safi merupakan seorang anak yang luar biasa.

Hal ini kerana menurut Abdul Rehman Khan, Hammad Safi tidak seperti kanak-kanak seusianya yang lain.

“Masyarakat melihat sesuatu di dalam dirinya, begitu juga dengan saya sebagai seorang bapa.

“Disebabkan itulah, saya telah mengambil guru-guru khas untuk Hammad Safi kerana saya mahu dia membesar menjadi seorang pemimpin istimewa.

“Saya sangat berbangga terhadap kemampuan, kebijaksanaan serta bakat dianugerahkan tuhan yang ditunjukkannya,” katanya.

Syarahan yang diucapkan oleh Hammad Safi turut berkisar mengenai keamanan, harmoni, kewujudan bersama dan kemanusiaan. Safi juga menyanjung ajaran Nabi Muhammad SAW dan menyimpan hasrat membawa revolusi ke benua terpencil India.

Hammad Safi Abdul Rehman Khan, seorang speaker motivasi yang menggayakan sut elegan itu bukan sahaja popular sehingga menarik ramai penonton tempatan ketika berucap malah ceramah sensasinya tular dalam Internet. – AFP
Di USECS, fakulti tersebut mengiktiraf Safi dengan istilah nanha profesor atau profesor cilik yang disifatkan sebagai prospek protege kepada kemajuan bangsa suatu hari nanti. – AFP

“Saya mahu menjadi sumber inspirasi bukan sahaja untuk rakyat Pakistan, tetapi seluruh dunia.

“Malah, saya memberi inspirasi kepada seluruh alam semesta,” katanya penuh yakin.

Difahamkan, Hammad Safi belajar antara 10 hingga 12 jam setiap hari. Biliknya pula tiada sebarang poster hero kartun atau ahli sukan malah, tidak banyak mainan yang boleh dijumpai.

“Batman dan Superman ialah hero rekaan, tetapi mereka adalah hero sebenar,” katanya sambil menunjukkan potret Bill Gates dan Albert Einstein yang menghiasai dinding kamar tidurnya.

Malah, kanak-kanak tersebut menyanjung penyair, ahli politik dan falsafah Pakistan, Allama Iqbal yang menjadi inspirasi Gerakan Pakistan.

Biarpun Hammad Safi dihujani pelbagai pujian atas bakat dimiliki, masih terdapat segelintir individu yang risau dengan menyifatkan kanak-kanak tersebut masih perlu menikmati usia mudanya. Kerisauan tersebut ditimbulkan oleh profesor dari Universiti Peshawar, Bakht Zaman.

“Di manakah kanak-kanak dalam dirinya? Ia sudah hilang kerana Hammad Safi berfikir lebih matang daripada usia sebenarnya.

“Walaupun kanak-kanak berbakat ini merupakan seorang penceramah yang baik namun Hammad Safi masih kekurangan dari segi kedalaman intelektual,” katanya yang pernah menghadiri ceramah Hammad Safi dan kemudian menyebarkan ke laman YouTube.

Sementara itu, naib canselor di salah sebuah universiti awam Lahore, Hassan Amir Shah berharap, kesemua tumpuan yang diberikan kepada Hammad Safi tidak membuatkan dirinya menjadi gila.

“Masih jauh lagi perjalanan yang perlu dilalui Hammad Safi dan masih banyak lagi buku yang perlu dibaca.

“Kita hanya mampu menilai penceramah muda ini apabila sudah berusia 20 tahun iaitu ketika dia sudah dewasa,” ujarnya. – AFP