Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menceroboh.
Hukuman terhadap Mohd Hadri bin Haji Abdul Raub, 32, dijatuhkan oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman kerana menceroboh masuk sebuah rumah di Kampung Delima Satu, Jalan Kebangsaan Pulaie pada 7:20 malam, 28 Mac 2019.
Fakta kes Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali menyatakan bahawa rumah berkenaan adalah rumah pekerja.
Penghuni yang berada di dalam biliknya pada malam itu tidak menutup pintu tetapi menutup pintu besi. Penghuni berkenaan melihat defendan yang tidak dikenalinya, membuka pintu besi dan memasuki rumah tersebut.
Penghuni itu menyoal defendan apa yang dilakukannya, pada masa yang sama terhidu bau alkohol. Defendan membalas soalan berkenaan dengan merapu, kemudian menolak penghuni dan menumbuknya.
Sejurus itu, penghuni rumah berlari keluar dan memaklumkan jiran mengenai kejadian berkenaan.
Sebalik kembali, dia mendapati defendan berada di kawasan tersebut.
Penghuni rumah berkenaan dan jirannya meminta defendan untuk pergi tetapi enggan walaupun selepas diugut dengan memaklumkan tuan rumah mereka. Jiran berkenaan kemudian menghubungi tuan rumah yang membuat laporan polis sekali gus membawa kepada penangkapan defendan.
Siasatan mendedahkan bahawa defendan telah minum alkohol bersama rakan-rakannya di rumah pekerja mereka awal sebelum itu di Kampung Pancha Delima, Berakas yang berdekatan.





























