ABUJA, 6 Mac – Ibu pemain sayap Bordeaux dan Nigeria Samuel Kalu telah dibebaskan selepas diculik sekumpulan lelaki bersenjata enam hari lalu, menurut polis Nigeria.
Ozuruonye Juliet Kalu telah diculik pada 27 Februari ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di tenggara bandar Abia.
Tidak jelas sama ada wang tebusan yang diminta telah dibayar tetapi pihak berkuasa mengesahkan bahawa wanita itu dibebaskan sekitar jam 2300 GMT pada Isnin.
“Memang benar dia telah dibebaskan dan diserahkan kepada keluarganya,” kata Godfrey Ogbonna dari Polis Negeri Abia.
“Saya juga boleh mengesahkan bahawa siasatan masih berjalan bagi memberkas mereka yang bertanggungjawab.
“Kami akan membuat kenyataan sebaik sahaja mendapat maklumat lanjut, namun buat masa ini, dia selamat dan telah kembali ke pangkuan keluarganya.”
Meskipun berlaku insiden penculikan itu, Kalu akan beraksi untuk skuad Bordeaux dalam perlawanan Liga Perancis 1 yang dijadualkan semula bagi menentang Montpellier, semalam.
Pemain berusia 21 tahun itu, yang turut disenaraikan skuad Nigeria untuk beraksi pada Isnin dalam pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika menentang Seychelles dan perlawanan persahabatan dengan Mesir, telah menjaringkan gol dalam lima aksi di Super Eagles sejak penampilan sulungnya tahun lepas.
Insiden penculikan, yang lebih kerap berlaku dalam kalangan pekerja minyak dan golongan kaya serta terkenal, adalah perkara biasa di Nigeria, namun kebelakangan ini, pemain bola sepak dan keluarga mereka sering menjadi sasaran.
Ayah kapten skuad Nigeria, John Mikel Obi telah diculik buat kali kedua dalam tempoh tujuh tahun pada Jun, sebelum dia dibebaskan selepas wang tebusan sebanyak 10 juta naira dibayar. – Bernama

































