Pencuri alat gerudi kena 8 bulan penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Mahkamah Majistret, kelmarin, menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara terhadap seorang lelaki selepas menolak pengakuan tidak bersalah yang dibuatnya pada saat terakhir atas alasan keterangan yang direkodkan daripadanya untuk kesalahan melakukan curi adalah rekaan dan paksaan.

Tertuduh, Muhammad Eddy Hasni bin Abdullah Amle @ Sunee bin Amle, 37, yang berdepan tuduhan mencuri alat gerudi dari Sim Kim Huat Department Store pada 4 Februari 2020 sebelum itu mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memutuskan hukuman itu selepas berpuas hati mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud bahawa tertuduh tanpa ragu telah mengaku bersalah dan memahami fakta kes pertuduhan semasa dibacakan pada 13 Februari 2020.

Ini dibuktikan melalui kata rayuan tertuduh selepas membuat pengakuan bersalah, yang mana tertuduh meminta maaf kepada mahkamah dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan lagi.

Tertuduh dalam rayuannya juga meminta mahkamah untuk tidak mengenakan hukuman penjara, kata timbalan pendakwa raya lagi dalam hujahannya.

Tertuduh didakwa mencuri alat gerudi jenama Stanley dari pasar raya tersebut dan menyimpannya dalam beg kitar semula milik pasar raya yang diambilnya dari satu sudut.

Dia kemudian mengambil dua paket roti dan dua paket minuman Cadbury 3 dalam 1.

Semasa di kaunter bayaran, tertuduh hanya meletakkan paket roti dan minuman, dan memberitahu juruwang yang dompetnya tertinggal.

Dia meninggalkan pasar raya itu dengan membawa beg kitar semula yang mengandungi alat gerudi, dan kemudian menjualnya pada harga $50 kepada lelaki warga Indonesia yang ditemuinya di kawasan Sengkurong.

Tertuduh menggunakan wang yang diperolehinya itu untuk kegunaan peribadi.

Laporan polis dibuat pekerja pasar raya sebaik menyedari alat gerudi yang berharga $165 itu hilang dari tempatnya, dan rakaman CCTV mendedahkan tertuduh selaku ‘pelakunya’.

Tertuduh mempunyai kesalahan lampau melibatkan curi sejak 1999.