Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Seorang warga tempatan dikenali sebagai ‘Simin’, yang pernah didakwa atas pelbagai kesalahan sejak 1999, telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan enam bulan, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas kesalahan mencuri.
Dalam kes ini, Adi Sukri bin Haji Sulaiman, 47, telah melakukan tujuh kesalahan mencuri.
Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni ketika menjatuhkan hukuman menyatakan kekecewaannya terhadap defendan yang melakukan jenayah untuk menyara keluarganya daripada mencari pendapatan dengan cara yang jujur.
Fakta yang menyebabkan penahanan telah dibentangkan oleh pendakwa raya Nurul Husna Aqilah binti Haji Abidin mendedahkan pada 11 Ogos, pukul 6:09 petang, semasa defendan berjalan melintasi sebuah kedai di ibu negara, dia dengan pantas mengambil dompet yang ditinggalkan oleh penjaga kedai yang sibuk. Dompet berkenaan mengandungi kad pengenalan pintar, kad ATM bank dan wang tunai $20. Tindakan defendan dirakam oleh CCTV kedai itu.
Pada 12 Ogos, pukul 1:40 petang, defendan sekali lagi melakukan pencurian apabila melihat sebuah kereta tanpa pengawasan di tempat letak kereta. Defendan telah mencuri beg sandang dan dompet yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai berjumlah $10.
Defendan juga berjaya mencuri satu beg sandang dari sebuah kedai di ibu negara pada 15 Ogos pukul 11:15 pagi, mengandungi dua kad pengenalan, kad ATM bank, lesen memandu, kad bank, sebuah telefon bimbit, kad akses kepada pintu pagar rumah kakitangan, wang tunai berjumlah RM150 dan $50.
Pada 16 Ogos, pukul 12:11 tengah hari, defendan berada di kedai yang terletak di lorong Jalan Gerai Timur apabila dia melihat individu meninggalkan keretanya untuk pergi ke salah sebuah kedai. Defendan dengan pantas menuju ke kereta tersebut dan mencuri beg yang mengandungi telefon bimbit, seutas rantai emas dan satu set kunci kereta.