Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Seorang lelaki yang mencuri dari sebuah kedai telah dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Hukuman dijatuhkan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid terhadap Mohammad Syaffawie bin Ahmad, 26, yang mengaku bersalah atas tuduhan mencuri empat botol Shell Helix Plus dari sebuah kedai di Sungai Liang pada 10 November 2017.
Manakala itu, rakan sejenayahnya, Hairul Asree bin Sahari, 38, akan dibicarakan pada Ogos 2018 selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.
Kedua-dua mereka didakwa pergi ke kedai itu dan salah seorang daripada mereka mengambil botol minyak tersebut tanpa membuat pembayaran sebelum melarikan diri.
Kes didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.