Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara empat tahun berserta dua sebatan, kelmarin, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pecah rumah untuk mencuri.
Hakim Mahkamah Perantaraan, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Saufiq Firdaus bin Haji Mohd Yussof selepas mempertimbangkan faktor memburukkan kes itu.
Mahkamah mengambil kira, antara lain, defendan tidak menyesal kerana mempunyai sabitan terdahulu dalam rekodnya, dibebaskan daripada penjara baru-baru ini, dan kesusahan yang dialami mangsa disebabkan kesalahan terhadap harta benda.
Pendakwa raya, Radin Wafri bin Radin Sufri dan Mohammad Kamal Ariffin bin Ismail mendedahkan bahawa defendan telah memecah masuk sebuah rumah di Kampung Bukit Bilid di Perpindahan Bukit Beruang Tutong pada 10 Oktober lalu.
Kira-kira pukul 2 pagi, defendan membuka pintu belakang rumah dan masuk melalui dapur.
Defendan mencari di sekeliling rumah dan melarikan komputer riba, sebuah TV dan TV boxes.
Pemilik rumah membuat laporan polis apabila mengetahui seseorang telah memecah masuk rumah daripada jiran, dan mendapati harta benda telah hilang.
Siasatan membawa kepada penahanan defendan dan mendapatkan semula semua barang yang dicuri, kecuali sebuah TV box.
Dalam hal itu, defendan memberitahu penyiasat, dia telah menjual TV box tersebut pada harga $70.