Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, telah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri manakala tiga lagi tertuduh bersama telah menafikan beberapa pertuduhan terhadap mereka.
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Addyherman bin Tarip, 38, yang mengakui semua pertuduhan terhadapnya, manakala hukuman terhadap Hasrin bin Kalong, 52, Mohd Izam bin Sidek, 24 dan Mohd Shahmizan bin Mohd Isa akan dijatuhkan setelah menjalani perbicaraan.
Ikat jamin mereka sebelum ini telah dibatalkan kerana mereka telah mengaku bersalah atas beberapa pertuduhan.
Pendakwa Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam mendedahkan bahawa Mohd Addyherman, Hasrin, Mohd Izam dan Mohd Shahmizan telah mencuri tiga sport rim bersama tayarnya dari sebuah rumah flat di Beribi, pada malam 19 September lalu.
Mohd Izam mengaku telah melarikan kereta dari sebuah rumah di Kampung Salambigar, Jalan Muara antara 8 dan 9 Januari lalu.
Mohd Addyherman mencuri dua pasu antik dan gong antik dari sebuah rumah di Jalan Tutong, Kampung Kilanas pada pukul 4 pagi 5 Ogos lalu.
Mohd Izam pula mencuri lapan unit penghawa dingin dari sebuah rumah di Jalan Pasir Berakas pada pukul 11 pagi 28 Oktober lalu.
Mohd Izam dan Mohd Shahmizan juga mencuri mesin basuh dengan pakaian masih di dalamnya dari sebuah rumah di Kampung Katok, Tungku, Gadong pada pukul 4 pagi 15 November lalu.
Hasrin, Mohd Izam dan Mohd Izam turut mencuri dua unit pemampat penghawa di-ngin di Restoran Rimba Ria pada petang 16 November.
Pemilik harta yang dicuri telah membuat laporan polis apabila menyedari barang-barang mereka telah hilang yang membawa kepada penangkapan defendan.
Majistret Harnita Zelda Skinner menangguhkan kes tersebut kepada 3 Januari depan bagi menetapkan tarikh perbicaraan terhadap beberapa pertuduhan yang disangkal oleh tiga tertuduh tersebut.