Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Seorang wanita yang mencuri dari sebuah pasar raya dihukum denda $1,000 atau hukuman sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.
Siti Norhazizah binti Samad, 23, mengaku bersalah mencuri makanan beku, pakaian, susu tepung, pencuci pakaian dan barangan lain dari Pasar Raya Giant pada 9 Februari 2018.
Hukuman dijatuhkan Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman yang memutuskan untuk menjatuhi denda selepas mendengar tertuduh menyuarakan rasa kesal atas perbuatannya.
Tertuduh didakwa pergi ke pasar raya tersebut bersama tiga orang anaknya dan memasukkan kesemua barangan yang bernilai lebih $200 itu ke dalam kantung plastik di dalam troli.
Sebaik keluar dari pasar raya, dia ditahan pengawal keselamatan yang mengarahkannya untuk menunjukkan resit pembelian.
Pengawal keselamatan kemudian memeriksa barangannya dan mendapati tidak ada pelekat ‘Paid’ tertera.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Hajah Nor’ Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.