Pencuri dipenjara 4 tahun, 2 minggu

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Seorang lelaki yang melakukan jenayah curi, pecah masuk rumah untuk mencuri dan ceroboh rumah dijatuhi hukuman empat tahun dua minggu penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

Hukuman terhadap Muhammad Rejab bin Haji Ramli, 29, yang mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan ke atasnya diputuskan Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni.

Tertuduh didakwa mencuri mesin pemotong rumput dan alat pemangkas dari sebuah rumah di Kampung Rimba antara 22 dan 23 Julai 2019.

Dia juga memecah masuk rumah untuk melakukan curi, juga di kampung sama pada 30 September 2019, jam 4 pagi.

Dia juga menceroboh bangunan di Jalan Pasir Berakas untuk melakukan curi antara 6 dan 7 Oktober 2019, dan turut menceroboh rumah di Lambak juga untuk mencuri pada 12 Oktober 2019 jam 3 pagi.

Tertuduh dalam kejadian berasingan pada 12 dan 16 Oktober 2019, juga memecah masuk rumah di Kampung Rimba untuk mencuri dan menceroboh sebuah lagi rumah di Kampung Lambak Kanan untuk melakukan kesalahan sama.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam.