Thursday, October 10, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencuri jam tangan dipenjara

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Seorang lelaki yang mencuri empat jam tangan Garmin dihukum lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

    Hukuman dijatuhkan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman terhadap Muhd Najmi @ Nurul Haq Mohd Zinrozman, 20, yang mengaku salah mencuri dua jam tangan Garmin Vivoactive 3 Black Slate dan dua lagi modal Garmin Fernix 5 Sapphire dari tempatnya bekerja di Kiulap dalam dua kejadian berasingan pada 14 Januari 2018 sekitar jam 10 pagi dan antara 2-3 Januari 2018. Kesemua jam bernilai $3,069.

    Menurut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai jurujual di kedai tersebut telah pergi ke bilik stor, tempat jam tangan Garmin itu disimpan. Dia kemudian menyembunyikan jam tangan itu di dalam poketnya.

    Ketika berada di tandas kedai, tertuduh mengambil gambar jam tangan itu dan memuat naik di laman sosial untuk tujuan menjual.

    Pemilik kedai yang menyedari kehilangan jam tangan itu semasa membuat pengiraan stok terus membuat siasatan melalui Facebook dan mendapati jam tangan itu dimuat naik untuk dijual oleh pekerjanya.

    Pemilik kedai kemudian mengarahkan penyelianya untuk mengatur seorang ‘pembeli’ yang kononnya akan membeli jam tangan itu pada harga $900.

    Selepas pembeli itu berhubung dengan tertuduh, mereka bersetuju untuk berjumpa di Taman Jubli, di mana tertuduh terus diberkas polis.

    Dalam kejadian awal antara 2-3 Januari, tertuduh yang turut mencuri dua jam tangan Garmin dari tempatnya bekerja, telah menjual jam tangan itu pada harga $900 kepada seorang pembeli di Hua Ho Tanjung Bunut.

    Polis hanya menemui semula dua daripada empat jam tangan tersebut.

    Tertuduh memberitahu mahkamah yang dia melakukan curi kerana ingin membayar balik kos kepada bapanya selepas terlibat dalam kemalangan bulan lalu.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda