Pencuri kereta akhirnya kena penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Seorang lelaki yang mencuri, melakukan khianat dan mempamerkan plat pendaftaran palsu dijatuhi hukuman 24 bulan penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman terhadap Rezo bin Saidi, 38, dijatuhi Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar sejurus tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah kereta dari kawasan rumah di Kampung Tumpuan Telisai, Tutong antara jam 6 petang pada 2 Mei 2019 dan 6:30 pagi pada 3 Mei 2019.

Tertuduh antara Mei dan Jun 2019 di kawasan Kampung Danau, Tutong turut melakukan khianat dengan menyembur warna hitam pada kereta yang dicurinya selain berdepan dakwaan mempamerkan plat pendaftaran palsu pada kereta tersebut.

Dia juga didakwa mencuri 97 kepingan pagar jambatan aluminium di kawasan Lebuhraya Lumut By-Pass, Jalan Badas pada 20 Jun 2019 kira-kira jam 3 petang selain turut berdepan dakwaan melakukan khianat dengan sengaja menyebabkan kerosakan harta benda apabila mengalihkan kepingan pagar jambatan aluminium tersebut.

Siasatan mendapati tertuduh menjual kepingan aluminium itu dan menerima wang sebanyak $102. Laporan Jabatan Kerja Raya mendedahkan kerosakan yang dibuat tertuduh pada pagar jambatan aluminium dianggarkan berjumlah $18,955.43. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.