Pencuri kereta dipenjara 4 tahun, denda

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Mahkamah Perantaraan, di sini, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang lelaki tempatan kerana mencuri kereta dan melakukan pencurian dari sebuah kereta serta restoran yang ditinggalkan tidak berkunci.

Hakim Hajah Hazarena binti POKSJ DP Haji Hurairah turut memerintahkan Muhammad Nor Hidayat Noor Zerdani, 27, untuk membayar denda $5,000, atau menjalani hukuman penjara tambahan selama empat minggu jika gagal membayarnya.

Pendakwa Raya Syafina Abdul Hadzid mendedahkan di mahkamah bahawa defendan telah mencuri kereta dan barangan dari sebuah restoran dalam satu malam.

Perbuatan itu dilakukan antara 20 dan 21 November ketika dia melarikan sebuah kereta dan mencuri mesin kimpalan, gerudi dan beberapa kabel dari dalamnya.

Kereta itu diletakkan di sebuah kediaman di Kampung Selayun, Sengkurong dan defendan memasuki rumah itu melalui pintu hadapan yang dibiarkan terbuka dan mengambil kunci kereta dari pintu masuk.

Dia kemudian menceroboh masuk sebuah restoran di Bangunan Sengkurong Jaya, yang pintu belakangnya dibiarkan tidak berkunci. Dia mencuri dua tong gas dan menggeledah restoran itu, mencari barang untuk dicuri.

Dia menemui satu set kunci dan keluar untuk mencuri kereta yang diletakkan di hadapan.

Pada 25 November selepas waktu tengah malam, dia melarikan kereta yang diletakkan di sebuah kediaman di Kampung Tagap Selayun, Jalan Jerudong dengan kunci ditinggalkan di dalamnya.

Dia juga mencuri beberapa wayar dan kabel, paip tembaga dan bateri kereta dari kereta tersebut.

Pendakwa Raya Syafina seterusnya mendedahkan, defendan ditahan selepas siasatan polis berikutan laporan yang dibuat oleh mangsa.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa defendan juga mempunyai beberapa rekod jenayah yang dilakukan sebelumnya.