Pencuri ketahui nasib 26 Ogos

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Seorang lelaki akan mengetahui nasibnya pada 26 Ogos depan selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, pada 19 Ogos lalu atas kesalahan mencuri dan melakukan kerosakan.

Timbalan Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud memaklumkan mahkamah bahawa pada malam 18 Januari, Hadiman bin Ahad, 41, berjalan dari kawasan perumahan Mengkubau ke Masjid Kampung Tanah Jambu dengan membawa wayar besi dan gam tikus.

Dia memasuki masjid berkenaan menerusi pintu belakang, memakai penutup mulut dan hidung hitam serta topi untuk menyembunyikan identitinya. Sebaik berada di dalam masjid, dia mencari barang untuk dicuri dan terlihat kotak sumbangan.

Menggunakan wayar besi dan gam yang dibawanya, dia cuba mengeluarkan wang daripada kotak berkenaan tetapi tidak berjaya. Dia kemudian menggunakan kerusi besi untuk memecahkan kotak berkenaan dan mengambil wang $7.

Pada malam sama, seorang pengawal malam yang menemui kotak sumbangan berkenaan memaklumkan imam masjid yang kemudiannya membuat laporan polis dan membawa kepada penahanan tertuduh dengan bantuan CCTV yang merakam perbuatan tertuduh.

Pada 12 Jun, pukul 7 Malam, tertuduh menaiki bas dari Muara ke Kampung Salambigar untuk pergi ke rumah iparnya di Kampung Sungai Hanching.

Sebaik tiba, tertuduh memasuki rumah berkenaan menerusi pintu gelangsar belakang. Apabila dia memasuki ruang tamu, dia terlihat Huawei Media Pad M3 Lite berwarna hitam di atas almari. Dia kemudian mengambil telefon berkenaan dan menyimpannya dalam begnya sebelum meninggalkan rumah berkenaan.

Pada pukul 10:30 malam yang sama, ipar tertuduh pulang dan mendapati bahawa telefonnya telah hilang dan membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh.

Semasa dalam tahanan polis, mangsa dan isterinya bersemuka dengan tertuduh yang mengaku bahawa dia telah mencuri telefon itu. Hakim Mahkamah Perantaraan Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni mempertimbangkan hukuman sesuai terhadap tertuduh.