Pencuri lesap dengan setengah tan buah anggur

MONTREAL, 28 OKT – Pencuri meloloskan diri bersama setengah tan buah anggur yang dipetik dari pokok anggur di sebuah ladang di wilayah Quebec, Kanada, kata tuan punya ladang semalam.

Pekerja di ladang anggur Vignoble et Cidrerie Coteau Rougemon mendapat tahu tentang kecurian itu selepas keluar untuk memetik anggur terakhir pada musim ini.

Polis berkata mereka tidak mempunyai petunjuk khusus tetapi mengesyaki orang yang mempunyai tabiat mencuri dan bukannya profesional.

“Usaha enam bulan dilakukan untuk menyediakan pokok anggur, menyiram dan menyelenggaranya, mencabut rumpai serta mencantas dahan. Maka adalah amat mengecewakan apabila anda datang untuk memetik anggur dan buah-buahan itu telah lesap,” beritahu pemilik ladang anggur Michel Robert kepada AFP.

Pencuri menanggalkan jaring yang menutup pokok anggur, dan memetik anggur Vidal blanc sehingga habis – cukup untuk memproses 300 botol wain putih bernilai AS$3,800.

Jurucakap polis wilayah Quebec Valerie Beauchamp berkata pencuri menggunakan kenderaan pacuan empat roda bersama treler, yang meninggalkan bekas tayar dan beg sampah hitam untuk mengangkut buah anggur selepas memetik anggur dari pokok, serta mematah beberapa dahan. Beberapa beg tertinggal di tempat kejadian. – AFP