Pencuri pancing rantai Versace

SYDNEY, 4 MAC – Seorang pencuri telah dirakam kamera memancing rantai emas menggunakan joran dalam kes kecurian waktu malam di sebuah kedai pereka Australia.

Pencuri itu yang dirakam CCTV telah memecahkan cermin kedai di daerah pusat perniagaan Melbourne sebelum menggunakan joran untuk memancing rantai Versace, kata polis tempatan hari ini. Namun ia mengambil masa hampir tiga jam untuk pemancing itu mendapatkan ‘tangkapannya’.

Selepas percubaan pertama dengan joran kecil gagal, lelaki itu memutuskan untuk mengambil joran besar, yang akhirnya berjaya ‘menangkap’ barangan kemas bernilai AS$700 dari leher patung dalam jenayah yang polis gambarkan sebagai belum pernah disaksikan sejauh ini.

“Ia perbuatan sangat berani dan terang-terangan di mana seseorang telah membawa joran ikan di tengah malam,” kata Konstabel Polis Victoria, Bede Whitty.

Polis menyiarkan rakaman itu ketika percubaan untuk memberkas pencuri botak pertengahan umur. – AFP