Pencuri, pembeli bateri lori ditahan

TAWAU, 13 Feb – Polis menahan tiga individu disyaki terlibat dalam jenayah mencuri dan membeli bateri lori curi di Tawau pada 1 Februari lepas dan semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun dan seorang wanita pendatang asing tanpa izin (PATI), 29 tahun ditahan di Jalan Dunlop di sini pada 7 malam 1 Februari lalu.

“Kejayaan polis menahan suspek utama ini sekali gus menyelesaikan enam kes kecurian bateri lori di sekitar kawasan bandar, Batu 10 serta Batu 3 kawasan perindustrian, yang dilaporkan berlaku antara bulan September 2018 hingga Januari tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Fadil, hasil tangkapan itu turut membawa kepada rampasan kereta disewa suspek, kabel bateri, sebuah amplifier, sarung tangan serta peralatan digunakan untuk mencuri bateri lori.

“Suspek lelaki juga mempunyai satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pernah dipenjara selama tiga bulan pada tahun 2017,” katanya.

Sementara itu, Fadil berkata lanjutan daripada penahanan suspek utama itu, pihaknya turut mencekup seorang lelaki berumur 34 tahun selepas disyaki membeli dan menerima bateri curi semalam.

“Tangkapan suspek utama membawa kepada rampasan tiga bateri lori yang dijual oleh suspek kepada sebuah kedai besi buruk dan seorang pekerja ditangkap bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama