Pencuri potret Macron dibicara

PARIS, 11 SEPT – Lapan penunjuk perasaan dibicarakan di Paris hari ini kerana mencuri potret rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron dari bangunan awam sebagai sebahagian daripada bantahan terhadap perubahan iklim.

Para aktivis berumur antara 23 hingga 36 tahun didakwa mencuri selepas mengambil gambar-gambar dari beberapa pejabat kerajaan tempatan di sekitar ibu kota pada Februari.

Tindakan ketidaktaatan awam merupakan sebahagian daripada pergerakan yang disebut ‘Take Down Macron’ yang dimaksudkan untuk menyerlahkan tindakan lamban kerajaan Perancis mengenai pemanasan global.

Dalang pergerakan, COP21 (ANV-COP21) mendakwa bahawa 128 potret telah dicuri di seluruh Perancis, manakala 57 orang menghadapi tuduhan ‘curi berkumpulan’ yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara jika sabit kesalahan.

Ratusan penunjuk perasaan menjulang potret semasa protes di barat daya Perancis pada akhir bulan Ogos berhampiran Biarritz di mana Macron menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G7. – AFP

Aktivis ekologi melancarkan demonstrasi di depan mahkamah Paris sebagai menunjukkan sokongan kepada lapan orang yang dibicarakan kerana dituduh ‘mencuri berkumpulan’. – AFP