Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Seorang lelaki yang berdepan dakwaan mencuri dan melakukan kerosakan pada dua buah kereta telah dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Hukuman dijatuhkan Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman terhadap Mohammad Badrulkamaal bin Haji Shari, 29, yang didakwa atas empat tuduhan.
Dia didakwa mencuri wang $500, tiga kunci kereta, dua kad ATM, lesen memandu, kad pengenalan dan dua bentuk cincin perak daripada beg sandang yang diletakkan dalam sebuah kereta di Kampung Mata-Mata pada 12 Jun 2017 sekitar jam 8 malam.
Tertuduh turut didakwa melakukan kerosakan pada kereta itu dengan memecah tingkap di bahagian penumpang menggunakan batu, yang mana kerosakan dianggarkan berjumlah $80.
Untuk tuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa memecah tingkap sebuah lagi kereta yang diletakkan di kawasan Bangunan Sumbangsih Mulia pada 17 September 2017 kira-kira jam 10:30 pagi dan mencuri beg tangan yang mengandungi wang $30, beg dandanan dan dua kunci ketika pemiliknya menghadiri majlis persandingan di bangunan tersebut.
Kerosakan pada tingkap kereta itu dianggarkan berjumlah $351.79.
Timbalan Pendakwa Raya, Dr Mohammad Hussin Ali bin Idris memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh melakukan kesalahan itu tatkala menunggu rayuan untuk kesnya yang terdahulu didengar di Mahkamah Tinggi.
Tertuduh ternyata tidak mahu belajar daripada kesilapannya, kata Timbalan Pendakwa Raya.
Tertuduh yang ketika ini meringkuk di penjara atas kesalahan terdahulu, diperintahkan untuk menjalani hukuman 20 bulan penjara itu sebaik sahaja hukuman terdahulunya selesai.